Kuimpikan Bahagia Bab 4
4
“Wah, beruntunglah kau Nuha dapat kahwin dengan anak datuk, usahawan
muda yang sedang menempa nama lagi tu! Macam kami ni tak dapatlah ikan besar
macam tu!” kata rakan sekerjanya Sarimah yang kebetulan baru tiba di pejabat
am, tempat mereka menulis kehadiran.
Segaris pedih menimpa hatinya. Beatrice dan Jenny yang
berbaris di belakang mereka juga tersenyum semacam kepadanya. Dia meletakkan
beg kerjanya dan langsung tersenyum manis. Seolah-olah kebahagiaan miliknya
apatah lagi selepas dia cuti pertengahan semester ini dia baru sahaja kembali
dari berbulan madu di Bali Indonesia .
Itulah destinasi pilihannya. Dia tidak terus menjawab kata-kata teguran rakan
sejawatannya itu.
Dia sendiri tidak
tahu siapakah suaminya itu. Apakah syarikat yang diwakilinya? Dengan siapa dia
bekerja? Dia belum sempat bertanya mengenai hal itu.
“Tak ada untungnya
Cikgu Sarimah, sama sahaja. Kahwin dengan tukang kebun kah, dengan gurukah,
dengan petanikah atau dengan peniagakah atau dengan anak orang kaya atau anak
raja sekalipun keadaannya tetap sama. Yang berbeza hanya penerimaan kita!”
Katanya perlahan.
Hatinya cukup bengkak menghadapi segala-gala yang baru
berlaku. Hampir sahaja dia tidak mahu datang ke sekolah selepas cuti panjang ini.
Mahu sahaja dia berhenti kerja dan menyembunyikan dirinya dari pandangan umum.
Dia benar-benar tidak dapat menerima kenyataan walaupun hakikatnya dia bagaikan
Nuha Qarina yang kuat menghadapi keadaan yang berlaku. Entah kenapa dia
benar-benar teruji. Inikah balasannya kerana memutuskan pertunangan dengan
lelaki pilihannya dua tahun yang lalu?
“His, mana nak sama
keadaannya tu! Kahwin dengan tukang kebun mana sama kahwin dengan jutawan!
Kalau aku tu dah aku tukar kereta Kancil aku tu dengan BMW! Aku tak peduli!
Laki kan
kaya, senang buat duit!” kata Beatrice menyampuk dari arah belakangnya. BMW?
Hmm, kereta Vios
yang diberikan oleh Aliff Safwan sudah diserahkannya semula dua hari yang lalu.
Dia tidak mahu menyimpan kereta mewah itu lama-lama sementelah pula dia berasa
dirinya tidak mempunyai hak itu. Dia tidak mempunyai hak untuk menggunakan
kereta tersebut.
“Sama sahaja, tak
ada yang beza sangat! Lebih baik lagi kalau saling menyintai, Beat! Tak usah
disesalkan dengan siapapun kita kahwin, yang penting bahagia!” ulasnya lagi
dengan perkataan yang serupa. Wajah bulat Beatrice, rakan sekerjanya itu
dipandang seketika. Tidak pernah dia berasa jelak memandang wajah comel itu.
Beatrice tertawa kecil diikuti oleh Sarimah.
“Jadi, macam mana
bulan madu? Tentu best kan ? Dengarnya di luar
Negara betulkah? Jadi, takkan tak ada sourvenir
untuk kami semua?” kata Sarimah lagi. Dia membisu seribu bahasa. Tidak tahu dengan bahasa bagaimana lagi dia
hendak membalas kata-kata itu. Takkan dia terus berpura-pura begini.
“Susah
lah nak cakap Cikgu Sarimah. Hari tu saya balik rushing, kebetulan mak mertua sakit ditahan di SMC! Jadi, tu lah
yang balik awal tu! Kalau tak, tentu sempat belikan kamu sesuatu tapi apa nak
buat! Nantilah mana tahu ada kesempatan melancong lagi, saya akan shopping sakan!” katanya berdalih lagi.
Jangan-jangan Datin Hamidah, emak kepada suaminya itu
sedang sibuk menempah pakaian kahwin untuk anak lelaki kesayangannya itu. Dia
menarik nafas parah dirasanya. Apatah lagi lelaki itu bakal berkahwin dengan
gadis yang dicintainya. Tentu mereka akan lebih bahagia berbanding kalau
suaminya terus bersamanya. Tentu tidak akan wujud kebahagiaan apatah lagi
dirinya keturunan keluarga sederhana.
Tentu tidak sesuai dengan dirinya yang masih kaya dengan
sikap-sikap ketimuran sedangkan suaminya yang bakal menceraikannya itu banyak
bergaul di luar negeri. Sedangkan dia hanya melepak di dalam negeri sahaja. Ada sesuatu yang mengusik
jiwa halusnya, tidak dapat dileraikan segalanya.
“Siapa yang hantar
tadi? Cik abang usahawan muda yang mula menempa nama tu ya? Nuha, akak ni gembira sangat sebab Nuha
dapat kahwin dengan usahawan tu. Ada
juga rakan guru yang dapat memikat lelaki hebat macam tu!” soal seorang guru
senior, Cikgu Masmilliah mencelah di sebalik kesesakan rakan-rakan menulis
nama.
Terpempan dia dengan apa yang baru didengarnya. Dia
menggelengkan kepalanya. Bagaimana cik abangnya hendak menghantarnya kalau bergelut
dengan gadis lain lagi. Menyesal benar dirinya menerima lelaki itu. Alangkah
baiknya kalau dia masih hidup bujang tidaklah dia sesakit ini. Bisiknya lagi.
Kesal memenuhi dadanya.
“Tak kak, datang
sendiri. Tu kereta saya kan !
Kenari tu!” katanya perlahan. sayu bagaikan dipermainkan oleh anak seorang
datuk yang cukup licik baginya. Entah kenapa dia berasa benar-benar serik
dengan apa yang berlaku.
“Oh, ingatkan Cik
abang yang datang hantar dan jemput! Biasanya orang baru kahwin masih manja,
dihantar dan dijemput! Maklumlah baru lepas kahwin dan baru balik bulan madu! Mesti
bahagia kan! Lainlah kami yang dah tua ni!” kata Cikgu Masmilliah lagi.
Sayu hatinya. Memang benar kata-kata itu. Kalau Aliff
Safwan itu benar-benar menjadi miliknya dia tidak akan membiarkan terbang ke sana ke mari seorang diri
pada musim cuti yang lalu. Tetapi kerana ikatan yang sudah diputuskan
daripadanya sendiri menyebabkan dia datang dan pulang sendiri pada hari-hari persekolahan
ini bermula hari ini hingga hari-hari yang seterusnya.
Entah mengapa, dia benar-benar tidak dapat menerima
hakikat itu. Hatinya sendu tetapi wajahnya tetap dihiasi senyuman manis penawar
dukanya. Kalau senyuman di pipinya sudah tidak ada lagi entah apa lagi yang
tinggal buat dirinya ini! Dia nanar!
“Abang saya pergi
ke Jepun semalam kak! Dia ada ada meeting
di sana !
Katanya pergi dalam dua tiga hari. Jadi saya tak haraplah dia akan hantar saya
ke mana-mana. Sayapun selesa sendiri!” katanya perlahan dalam sayu dan dia
hampir tidak terkata.
Dia juga hendak menutup maruah lelaki yang baru
menikahinya itu. Namun dalam usahanya untuk berpura-pura itu bukankah senyuman
itu menutup segalanya!
“Oh, cik abang
pergi ke Jepun! Kenapa tak ikut sama? Wah, kalau kak dah ikut, tak pedulilah! Sekarang
ni tinggal dengan mertualah ya?” kata Cikgu Masmilliah lagi. banyak sekali
pertanyaannya, mengalahkan penyiasat upahan. Dia menggelengkan kepalanya. Dia
tinggal di rumah salah seorang kawan baiknya, haruskah dia berterus-terang?
Bisiknya. Ah, tak perlulah dia berterus terang. Lebih baik meneruskan kerja
sahaja. Katanya lagi.
“Ala kak Mas, apa yang Kak Mas sibuk. Suami
dia kan
sentiasa di luar negara. Sekejap di negara kangaroo, sekejap di negara matahari
terbit, sekejap di negara Arab, sekejap di negara romantik. Tanya tempat
tinggal, tak usah kak. Nuha boleh tinggal di hotel mana-mana yang dia suka! Master Card Gold ada kak! Hai,
bertuahnya badan! Kalaulah kita macam tu!” kata Cikgu Beatrice seolah-olah tahu
dengan apa yang berlaku. Dia tersengih sahaja. Tidak berminat memberikan komen!
“Hiss, jangan kau
mengada-ada Beat! Saya bukan begitu. Saya hanya pakai kad saya sendiri! Dia
kerja kak, bukan main-main! Saya jalan dulu kak Mas. Nanti lambat pula saya
masuk ke kelas!” katanya menutup bicara pagi. Dia tidak perlu mengulas lebih
panjang dengan jawapan Cikgu Beatrice yang begitu bernas.
“Hai, bahagialah
hendaknya si Nuha kita ni! Nanti boleh belanja kita makan di hotel lima bintang
ya! Sekali lah bagi meraikan perkahwinan hari tu. Kak tak sempat pegi!” kata
Cikgu Masmilliah lagi mencadangkan agar dia dibawa makan di Hotel Meridien yang
mempunyai pemandangan pantai. Rakan-rakan yang lain turut tersenyum bahagia.
Ah, derita yang ditanggungnya betapa sukarnya dia menutupi hatinya ini.
“Terima kasih atas
doa tu kak.” Katanya meratap sedih.
“Ya harap-harap
bahagialah hendaklah adik kita yang seorang ni. Maklumlah agak lama juga dia
menderita tetapi sekarang dia sudah bahagia!” kata Sarimah lagi menambah
kata-kata Cikgu Masmilliah. Gamam dia dengan apa yang mereka doakan. Mungkinkah
lelaki itu akan berubah? Ah, dia tidak berdoa lelaki itu akan kembali kepada
dirinya walaupun rindunya kepada lelaki itu sering menggigit tangkai hatinya.