Novel Cinta Sang Pilot 8
Bab 8
“Macam
mana bro, aku dengar kau lepas tengok orang kampung kahwin, rasa nak kahwin
tak?” soal Suffian, rakan sekerja Nukman Faris yang agak muda. Mereka berkawan
baik sejak di bangku sekolah. Nukman Faris geleng. Dia tidak tahu bagaimana
hendak membuka cerita. Kawan-kawan dan rakan sekerjanya tidak tahu dia sudah
berkahwin. Hanya segelintir kawan baiknya sahaja yang tahu.
“Tak tahu lagi.” Katanya.
“Bagaimana dengan Rozaila, bila nak
habiskan zaman bujang? Teman steady dah ada,” kata Suffian. Memikirkan Rozaila,
Nukman Faris semakin pening. Hari-hari Rozaila menagih meminta dikahwini
walaupun dia sedang berada di luar negara. Wang poketnya habis membayar bil-bil
telefon sahaja. Dia tidak tahu bagaimana hendak bertindak lagi. Dia tidak mahu
membelakangkan ibu bapanya.
“Belum lagi rasanya,” itu sahaja
jawapan yang mampu diberikannya.
“Kenapa macam tak bermaya ni bro?” soal
Suffian lagi.
“Tak ada apa-apalah, mungkin aku rasa
penat sikit,” kata Nukman Faris yang baru balik dari bertugas di luar negara.
Dia terkenangkan Natasya, isteri di atas kertasnya. Dia tidak tahu bagaimana
dia hendak bertemu.
“Kenapa ni bro? Takkan tak sabar nak
kahwin pula,” kata Suffian lagi. Nukman Faris tersengih. Bukan tak sabar nak
kahwin, dia dah kahwin pun!
“Aku nak tunggu kau kahwin dulu,” kata
Nukman Faris mengusik kawannya, pembantunya semasa bertugas. Pandangannya tajam
memandang Suffian.
“Aku? Jangan mimpilah, belum cukup umur
lagi,” kata Suffian. Nukman Faris hanya tersengih. Belum sampai setahun Suffian
keluar dari kolej. Tentulah dia mahu menimba banyak pengalaman.
“Mana kau nak simpan mata air kau,
takkan nak simpan lama-lama nanti dia lari pula,” kata Nukman Faris.
“Tak lah, dia masih belajar, takkan
saya nak masuk meminang pula. Eh, segan lah pula saya. Biarlah dia dulu.
Lagipun nak hidup bujang lagi,” kata Suffian. Akhirnya mereka melayani tempahan
makanan yang sudah tiba di depan mata.
Dia
sendiri pula terpaksa dinikahkan dengan anak mak ngahnya di kampung. Mahu
menutup malu dia terpaksa menikah secepat yang mungkin tanpa keinginannya.
Namun dia mengakui sepupunya yang dulunya gemuk dan masih berhingus, sekarang
sudah kurus dan cantik sekali. Tidak rugi dia menurut kemahuan keluarganya.
Namun dia terpaksa memberikan syarat sebab dia sudah kekasih. Mati-mati dia
menafikan yang dia sudah kahwin.
Dia
tahu tidak ada siapa yang akan tahu kerana dia dan isterinya tidak tinggal
sama-sama. Dia juga sering fly ke
mana-mana. Jika kawan kerjanya ini tahu, memang naya dia.
“Kita makan dululah, aku pun dah penat
dan lapar,” kata Nukman Faris. Suffian angguk. Nasi kandar Pelita memang
menyelerakan. Nukman Faris berasa susah hati pula hendak balik ke rumahnya.
Mamanya pasti menunggu cerita daripadanya. Apa yang dia hendak ceritakan?
Tentang isterinya yang dia tidak tahu di mana? Huh!
“Kenapa mengeluh ni bro? Ada masalah
kan?” soal Suffian yang memerhatikannya dalam diam.
“Tak ada, aku ingatkan mama aku,
mungkin dia rindukan aku,” kata Nukman Faris. Walhal, fikirannya macam-macam.
Sudah berkali-kali mamanya menghubunginya sejak dia mendarat di darat.
“Kejap lagi kau jumpalah dengan mama
kau tu, takkan dia tak sabar tunggu, kau nak makan dulu,” pujuk Suffian. Nukman
Faris tersengih. Kawan kerjanya tidak tahu kemahuan mamanya yang agak berbeza.
Pening kepalanya.
“Ya aku faham, mahu atau tidak mama aku
terpaksa sabar,” katanya.
“Eh lupa nak tanya, hari tu kau balik
kampung, siapa yang kahwin? Tak pernah kau balik kampung selama ni,” hampir
tersedak Nukman Faris. ‘Akulah yang kahwin!’ jawabnya dalam hati.
“Memang dah lama tak balik aku tak
selesa di kampung. Nasib baik sepupu aku yang kahwin, kalau tak aku tak nak
pegi,” jawabnya. Suffian angguk. Percayakah dia? Ah, dia tidak mahu peduli.
“Lama juga kau cuti hari tu ya,” tambah
Suffian lagi.
“Ala aku cuti seminggu je, sambil
bercuti lah di kampung. Tak pernah aku ke situ kan,” kata Nukman Faris. Baginya
suffian terlalu mengambil tahu tentangnya.
“Lepas makan ni aku terus pegi rumah
mama, ingatkan aku nak layan kekasih hati aku. Ah tak dapat pula. Dia sudah
terbang ke London kerana buat pertunjukan fesyen di situ,” kata Nukman Faris
separuh kecewa.
“Tak apalah, nanti dia balik dapatlah
kamu jumpa,” kata Suffian.
“Aku akan fly pula lepas tu, kan kita
sama-sama kan!” kata Nukman Faris.
“Ya tak ya. Berapa lama dia di situ?
Seminggu dua minggu?”
“Entah, aku malas nak ambil tahu. Baik
aku ambil berat mengenai mama, ada pahalanya,” kata Nukman Faris.
“Betul! Aku setuju dengan kau,” kata
Suffian. Mereka berpisah di situ.