Novel Cinta Sang Pilot 1
Bab 1
“Mungkin
ini kegembiraan bagimu tetapi malang bagiku. Aku tidak tahu kenapa aku harus
jadi biawak hidup menanggung dirimu,” astaghfirullah, aku beristighfar panjang
mendengar kata-kata yang dibisikkan di telingaku sebentar tadi. Kami
berpandangan seketika. Wajah tampan itu aku tatap walaupun ngeri untuk
dibayangkan akan kata-katanya. Namun aku terpaksa menahan perasaan kecewa
sendirian dengan menempelkan senyuman manis.
Mahu
mengurut dadapun ada. Mahu menangis pun ada. Mahu pengsan sudah tentu. Namun
aku sabar dan reda dengan apa yang berlaku. Tambahan pula aku dikelilingi oleh
sanak-saudara terdekatku dan ahli keluarganya.
Saat lafaz mulia iaitu lafaz nikah
sudah dijalankan, itulah pula lafaz yang terpaksa aku dengar dan cerna dalam
diriku ini. Kemudian lelaki itu mengucup dahiku apabila disuruh oleh
sanak-saudara yang ada di situ. Jelingannya usah dicerita. Cuak wajahnya usah
dibentang. Aku tahu dia terpaksa. Apabila jurugambar hendak merakam gambar kami, dia tersenyum senada denganku.
Bertuah, memang dia pelakon hebat!
Namun aku terasa betapa syahdunya
perbuatannya itu. Kami bagaikan sepasang suami isteri yang menjalinkan hubungan
erat sebelum ini dan aku turut berjanji kepada diriku sendiri yang aku akan
jatuh cinta dan menjalankan tanggungjawabku sebagai isteri selepas ini. Dan,
bersaksikan Tuhan, aku berikrar akan menjadi isteri kepada lelaki ini untuk dunia dan di akhirat.
Usai pernikahan kami disandingkan
dalam sebuah majlis yang serba ringkas. Aku bersyukur kerana semua masalah yang
berlaku sebelum ini sudah dapat diselesaikan dengan baik.
Emak memanggil kakaknya pada saat-saat
kemelut kehidupanku begitu celaru. Alhamdulillah semua perkara yang dirancang
berjalan dengan baik dan Nukman Faris telah menjadikan semua majlis yang
dirancang oleh ibu bapa kami berjalan dengan lancar. Tetamu yang datang juga
tidak bertanya mengenai pengantin lelaki.
Aku cepat-cepat masuk ke dalam
bilikku, kamar pengantin yang sudah dihias dengan selayaknya sebagai bilik
pengantin. Aku cepat-cepat membuka tudungku. Sejak pagi aku telah dipakaikan
tudung tiga lapis oleh mak andam.
“Tasya, kenapa tinggalkan suami kamu
layan tetamu sorang-sorang?” aku terkedu.
Haruskah
aku menemani dia melayani teman-temannya yang baru datang? Dia tidak sudipun
aku menemaninya melayani tetamunya yang hanya beberapa orang itu. Aku di
sisinya seperti patung cendana sahaja. Sejak tadi aku sudah meminta izin untuk
masuk ke bilik dan mengerjakan solat Zohor yang sudah di hujung.
“Err,” aku tidak terjawab.
“Tak baik buat suami macam tu,” kata
emak dengan wajah cuak. Aku rasa bersalah pula.
“Mak, dia bukan tak biasa di rumah
kita ni,” aku memberi alasan. Dulu sewaktu kecil dia selalu datang ke rumah kami.
Walaupun dia orang bandar tetapi emaknya dan emakku adik-beradik. Jadi, dia selalu
dibawa balik ke kampung.
Selama
10 tahun kami tidak pernah bertemu. Akhirnya kami dipertemukan dalam suasana
yang sepatutnya menggembirakan bagi kami. Tetapi sangat menyakitkan baginya.
Kasihan sepupuku itu. Dia terpaksa menjadi suami kepadaku tanpa diduga. Namun
dia lelaki yang bijak. Seminggu sebelum majlis pernikahan dia telah membawa aku
ke suatu tempat tanpa pengetahuan ibu bapa kami.
“Jangan macam tu, dia tu suami,”
pinta emak. Aku angguk.
“Saya nak solat Zohor kejap mak.
Abang Nukman sudah solat tadi,” jawabku yang sudah mendapat idea. Baru lah emak
mengangguk dan berlalu keluar dari bilikku.
“Baiklah kalau macam tu. Jangan pula
anak mak berkurung di bilik, tak baik begitu,” aku angguk. Aku tahu di mana
kedudukan aku sebagai isteri kepada seorang lelaki yang tidak menyukaiku.
“Nanti saya keluar mak, saya pun nak
cuci pinggan mangkuk,” kataku. Emak mengangguk. Aku harus menghabiskan waktuku
di dapur selepas ini.
“Ya lah, pergilah solat,” jawab
emak. Pintu kututup perlahan. Susah amat memujuk emak.
Aku cepat-cepat mengerjakan solat
Zohor dan turun ke bawah untuk melihat-lihat suasana yang berlaku sekarang.
Suamiku masih dengan tetamunya. Mungkin kawan sekerja atau teman sekolahnya. Tetamu
lain beransur balik dan aku sedang mencari kerja bertimbun di dapur. Nukman
Faris pula tidak mempedulikan aku di luar. Jadi, lebih baik aku mencari kerja
kosong di bahagian dapur.
“Natasya!” namaku disebut kuat.
Seperti menjerit pun ada. Spontan mataku terarah kepada suara itu. Aku terus
berdiri dan memandang ke arah suara yang memanggilku. Pinggan-pinggan yang
bertimbun aku abaikan seketika. Tanganku yang bersabun aku cuci cepat-cepat.
“Ya abang, ada apa?” soalku yang
sudah berdiri di depannya.
“Nak makan,” pintanya seperti budak
kecil. Aku tersengih. Aku pun lupa yang kami belum makan sejak makan beradab
tadi. Jika makan pun hanya sedikit. Aku cepat-cepat menyendukkan nasi dan
menyendukkan lauk-pauk untuknya. Emak hanyya memandang aku. Saudara-mara yang
masih membantu di dapur juga saling berpandangan. Malunya!
“Awak tak makan sekali?” soalnya
bersopan santun. Aku geleng. Sanak-saudara yang membantu membersihkan dapur
masih ramai lagi.
“Awak dah bisu? Tak ada suara?”
soalnya menyakitkan hatiku. Aku tahulah aku ni meminta pertolongannya selama beberapa
minggu hingga hari ini tetapi janganlah
dia layan aku macam ni. Omelku dalam hati. Mukaku cuak.
“Muka tu senyum sikit, jangan macam
muka kena dera suami!” katanya separuh berbisik. Aku memaniskan muka. Memang
dia pelakon hebat.
“Saya dah makan tadi. Abang
makanlah, saya temankan,” jawabku yang sudah duduk di meja bulat itu. Aku
terpaksa berbohong. Sebenarnya aku pun agak lapar. Kami duduk bertentangan. Namun lelaki di
depanku itu buat muka selamba badak menjadikan aku hilang selera.
“Lepas ni kita kemas-kemas barang di
dapur ni, awak naik ke atas tau,” pesannya. ‘Kita?’ Dia nak tolong aku kemaskan
barang-barang selepas acara bersejarah kami ini? Soalku dalam diam. Aku
cepat-cepat angguk.
“Eh tak apalah bang, biar saya
selesaikan kerja-kerja ni. Abang pergilah berehat di bilik,” dalam aku
menggeleng aku melarang dia membantu aku.
“Tak apalah, abang akan tolong,”
katanya tidak mahu mengalah.
“Mama abang tak balik lagi? Kalau
tak balik, abang temankan mereka,” kataku memberikan cadangan. Datin Zahara
pasti tidak mahu melihat anaknya membantu di dapur. Nukman Faris menggeleng.
“Mereka duduk di hotel malam ni lagi
semalam, esok pagi mereka balik,” jawabnya. Aku angguk juga.
“Mereka ajak kita juga tapi tak ada
juga gunanya kan,” katanya. Aku angguk juga. Sebenarnya sedih.
“Saya sambung kerja dulu abang,”
pintaku. Lelaki itu sudah pun menyiapkan makannya.
“Pergilah, nanti abang tolong,”
katanya. Aku angguk.
“Abang tukar baju dulu. Pakaian
abang semuanya di almari,” beritahuku. Aku sempat mengemaskan pakaiannya di
almari bersebelahan dengan pakaianku. Bulat matanya.
“Terima kasih,” ucapnya. Aku angguk.
Hari ini aku banyak angguk dan geleng sahaja. Sebenarnya aku amat segan
dengannya. Walaupun kami sepupu namun hubungan kami tidak begitu baik. Dia kuat
mengejek aku sewaktu aku masih kecil dulu.
***
“Ini
amanat saya,” sampai di bilik, segala gelaran yang baik untuk diri lelaki itu
sudah berubah. Suaranya juga agak kasar. Pandangannya juga amat menyakitkan.
Aku duduk mendengar di sisi katil itu. ‘Macam nak mati pula pakai amanat-amanat
ni!’
“Awak kena ikut perjanjian yang
telah kita tandatangani di depan peguam saya hari tu. Jangan sampai mak saya
dan mak awak tahu, faham?” aku angguk lagi.
Aku
tidak akan sampai hati membuka pekung di dada. Aku akan simpan baik-baik semua
cerita suami isteri antara kami berdua. Walaupun cerita kami hanya sah di atas
kertas sahaja. Sah antara Natasya Umaira dan Nukman Faris.
“Ya
saya faham,” aku akur. Aku sedar siapa aku dalam hubungan kami. Aku buat acuh tak
acuh. Dia juga selalu sibuk dengan telefon bimbitnya.
“Awak
faham kan yang saya hanya menjadi pengganti kekasih awak yang melarikan diri
tu, jadi jangan paksa saya menjadi suami awak yang sebenar. Jangan minta saya
melakukan sesuatu yang saya tidak akan buat! Ikut perjanjian asal! Awak tidak
diakui sebagai isteri dan saya tidak diakui sebagai suami dan tidak boleh
menjalankan tugas sebagai suami isteri. Tetapi kita akan berlakon di depan
keluarga kita, faham?” aku angguk. Sedih memalu hati. Pernikahan apakah ini?
“Encik
Nukman, saya dah baca perjanjian tu. Terima kasih kerana sudi menjadi suami
saya hari ini. Saya takkan tuntut apa-apa lagi selepas ini, jangan bimbang,”
kataku yang terasa bengang dengan ingatan demi ingatan yang diberikannya. Dia
sengih. Sengih pun nampak kacak, aku menelaah sendiri. Marahku kepada diri
sendiri kepada tewas dengan janji sendiri. Sebenarnya aku cinta dia!
“Anak
dalam kandungan awak tu, saya izinkan kalau awak nak gunakan nama saya. Ini
salinan kad pengenalan saya, mana tahu saya tak da di sini masa awak melahirkan
anak, lepas bersalin nanti jaga diri,” katanya. Aku menyambut huluran kertas
itu. Aku menangis dalam hati.
Fitnah
orang kampung membuatkan aku terpaksa bernikah dengan sepupuku sendiri. Memang
sejak kecil aku sudah menaruh perasaan kepada lelaki ini. Kupendam sendirian.
Kalau dia tahu, aku takut dia akan bertambah marah kepadaku. Aku pun sudah
banyak menyusahkannya.
“Terima
kasih ya,” aku mengucapkan syukur. Aku berdoa agar masa dapat menjawab segala
persoalan yang sedang berlaku kepada diriku ini. Selepas tamat tempoh itu aku
akan bebas. Bebas dari sesiapa.
“Tak
perlu terima kasih kau. Aku tak nak! Kalau
bukan sebab mak kau dan mak aku yang paksa, aku takkan nikah dengan kau! Aku
tak nak kau! Kau tahu kan aku ada kekasih?” aku angguk dengan berat. Agak
memberat juga mataku dengan desak air mata yang hendak jatuh mengalir.
Aku
memang tidak berhak untuk mencampuri urusannya. Dia sudah awal-awal memberitahu
aku yang dia sudah mempunyai pilihan hati sendiri tetapi dia belum sempat
memberitahu emaknya mengenai pilihannya. Kasihan pula dia dan kasihan kepada
kekasihnya. Apa yang dapat aku lakukan untuk membantu dia? Terima
syarat-syaratnya. Itu yang penting! Aku mengingatkan diri sendiri.
“Tiba
masa nanti awak ceraikan saya. Awak boleh menikah dengan gadis pilihan awak. Saya
faham awak,” ucapku. Dalam hati aku tidak mahu perceraian. Aku tidak mahu
diceraikan. Bergegar arasy. Namun aku tidak ada pilihan. Lelaki itu menerima
aku kerana terpaksa dan kerana secebis kisah yang menimpa aku. Kerana secebis
kisah itu!
“Ya,
aku akan buat kemudian. Sekarang mari kita tidur,” katanya yang sudah mengambil
tempat di atas sofa. Dia hanya berbantalkan lengan. Aku sungguh kasihan melihat
dia berbaring di atas sofa itu.
“Eh,
kenapa awak tidur di sofa? Tak pe, awak sebagai tetamu saya, awak tidur di atas katil ni. Biar saya tidur di
sofa,” kataku cepat-cepat bangun dari duduk di bibir katil. Dia merenungku.
“Tak
apalah, biar aku yang tidur di sofa. Awak kan mengandung,” katanya mengalah dan
sudahpun mengangkat bantal dan selimut nipis di atas katilku. Mahu sahaja aku
meraung yang memberitahu aku telah difitnah namun suaraku aku padam dan aku
menjadi seperti tikus di depan kucing!
“Tak!
Tak boleh! Awak tidurlah atas katil. Memang hari-hari saya tidur atas sofa, tak
apa,” kataku tidak mahu mengalah. Aku memberi penghormatan kepadanya sebagai
tetamu.
Aku
tidak sedar, aku sudah menarik tangannya dan menghantar dia untuk tidur di atas
katil. Dia sudah tercengang memandangku. Aku pula selamba badak sahaja. Entah
di mana kekuatanku menarik tangannya.
Aku
tahu dia tidak biasa tidur di atas sofa di bilikku yang agak lapuk dan dimamah
usia itu. Aku sedar dia anak orang berada. Walaupun emaknya adik-beradik dengan
emakku namun kehidupan mak long cukup berbeza selepas menikahi ayahnya.
Kasihan
pula aku kepadanya. Kalau aku tidak apalah, aku sudah biasa susah, lagipun aku
tidak mengandung seperti yang diwar-warkan. Dia pun tidur di atas katil
sedangkan aku menghabiskan buku cerita terbaru tulisan Acik Lana. Aku tidak
sabar menghabiskannya. Malah, aku terasa bertuahnya Adara, kerana dilantik
menjadi setiausaha kepada Tuan Putra dalam novel tersebut. Ceritanya amat
bertentangan dengan diriku.
Ya
Allah, kenapa aku bernasib begini? Aku ingin sekali mempunyai seorang suami
yang mencintaiku setulus jiwa dan menemaniku sehingga ke syurga. Namun, apa
yang berlaku kepadaku amat bertentangan dengan kemahuanku.
“Eh,
awak tak tidur lagi?” soalnya yang terbangun tiba-tiba. Novel cinta yang kubaca
baru sahaja habis kubaca. Kulihat jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.40
pagi. Aku berniat hendak menunaikan solat tahajjud.
“Eh,
tak lagi! Mata saya ni belum mengantuk lagi!” kataku memberikan alasan. Buku
cerita itu kuletakkan di bawah bantal.
“Awak
biasa tak tidur malam?” aku menggeleng, mengangguk kemudiannya. Serba-salah aku
dibuatnya.
“Tak,
saya terbangun tadi,” aku mengatur alasan lagi. Dia sudah duduk di bibir katil.
Sebenarnya aku belum tidur mengenangkan solatku yang belum lengkap untuk malam
ini. Aku ingin merafakkan rasa syukurku.
“Awakkan
mengandung! Tak baik tidur lambat, tak baik untuk kesihatan!” ah, lagi-lagi
mengandung! Bosannya! Bisikku dalam hati. Tetapi kenapa dia terlalu prihatin
dengan kandunganku? Kalau dia tahu aku tidak mengandung, apakah dia akan
prihatin kepadaku? Aduhai!
“Tak
apa, awak tidur dulu. Itu bukan urusan awak! Urusan awak dengan saya sudah
selesai, menutup aib keluarga mak ngah awak kan! Nanti saya akan tidur. Saya
tak solat Isyak lagi!” aku mencipta alasan lagi.
Akhirnya
dia tertidur semula setelah mendengus dengan kuat. Aku berasa lega kerana dapat
membalas kata-katanya dan terus menuju ke pintu bilik air.
Dalam
solatku aku bersyukur dengan apa yang telah berlaku sepanjang hari ini bersama
lelaki yang sudah menjadi suamiku itu. Aku bersyukur kerana dia sudah menjadi
imamku sepanjang tiga hari pernikahan kami di kampung ini. Tetapi aku tiba-tiba
berasa takut jika hari keempatnya dia akan melafazkan cerainya pula kepadaku.
Ya
Allah ampunilah aku dan rahmatilah aku bersama suamiku, aku memohon lagi. Jika
pun dia menceraikan aku, aku akan bersyukur juga sekurang-kurangnya dia sudah
menutupi aibku dan keluargaku kerana aku difitnah oleh Amri bekas tunangku.
Syukur, syukur, tetap banyak syukurku kepada Allah pada hari ini.