Wednesday, January 1, 2014

Novel Kuimpikan Bahagia 11

11



“Hari ni kau nak uruskan apa lagi Nuha?” soal Kartika di sisi pintu pada pagi itu. Nuha Qarina hanya menggelengkan kepalanya. Tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukannya. Perlahan Kartika menghampirinya dan duduk di birai katil bujangnya itu. lapis tilam Nuha Qarina yang bercorak bunga-bunga halus dipandang Kartika dengan teliti.
            “Entahlah Ika. Aku tak tahu apa yang nak aku buat lagi. Aku bingung sekali. Aku hairan dengan perubahan sikap lelaki itu. Sepatutnya selepas dia nikah dengan bekas kekasihnya itu, dia berbahagia seperti mana doaku. Tetapi, lain pula yang dibuatnya! Aku pula yang dikejar-kejarnya! Apalah yang ada padaku lagi, selain semangat untuk terus hidup!” kata Nuha Qarina lemah. Dia seperti tidak mempunyai kekuatan untuk melakukan kerja-kerjanya.
            “Betulkah kau ada doakan kebahagiaan dia dengan bekas kekasihnya tu?” sempat Kartika mengejeknya dalam keadaan dirinya yang nanar dan bingung itu. sebiji bantal peluk sempat dilontarkannya ke arah Kartika yang sudah bersiap dengan baju kurung hijaunya.
            “Ika, tempat kita ni dah tak selamat. Kita seharusnya pindah dari sini! Saya tak mahu dia akan menjejaki saya lagi. maafkan saya Ika kerana menyusahkan awak!” kata Nuha Qarina memohon maaf kepada sahabatnya itu.
            “Nuha, ke mana lagi kita nak pindah?” Tanya Kartika dengan berat hati. Nuha Qarina memandang tajam ke arah sahabatnya itu.
            “Tak apa, minggu depan, saya dah nak berangkat, tapi yang menjadi masalahnya…”
            “Apa lagi masalahnya?”
            “Dia akan balik dari London minggu depan. Esok dia ke London. Dia pasti akan mencari saya! Jadi, saya tak mahu awak bocorkan rahsia saya. Saya takut dia akan bergegas mencari saya di sana!” kata Nuha Qarina bagaikan ketakutan.
            “Biarlah dia mencari awak di sana. Saya akan berikan alamat awak di sana dan awak dan dia akan berbulan madu di sana semula! Macamana, bagus tak rancangan saya tu?” kata Kartika seperti berseloroh kepadanya.
Mata Kartika dipandangnya lama. Dia tidak akan setuju dengan rancangan sahabatnya itu.
            “Tolonglah Ika, jangan buat saya macam tu! Kalau awak anggap saya sebagai sahabat, tolonglah rahsiakan hal ini! Aku tak minta banyak dari kau, aku minta kau rahsiakanlah pemergian aku ni!” kata Nuha Qarina merayu sahabatnya itu.
            “Saya tengok kali ini Aliff datang kepada awak sebagai lelaki yang jujur dan benar-benar menyayangi awak Nuha. Kenapa awak tak terima dia semula? Atau, awak buta dalam menilai suami awak sendiri!” terlongo dia dengan pertanyaan Kartika itu. benarkah Aliff Safwan ikhlas menerimanya kali ini?
            “Entahlah Nuha, aku tak tahu! Yang aku tahu, aku sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan lelaki itu.” kata Nuha lagi.
            “Mungkin dia masih memendam perasaannya terhadap awak Nuha. jangan-jangan dia hanya menduga awak hari awak berbulan madu tu? Mungkin dia nak lihat kesahihan awak menyayangi dia tak” kata Kartika menduga.
            “Saya tak mahu dimadukan Ika. Kalau awak di tempat saya, awak pun tak mahu bermadu kan? Tapi dalam paksa saya sudah dimadukan Ika! Awak mahu sahabat awak ni akan lebih terseksa lagi?” kata Nuha Qarina lagi. Kali ini Kartika menyepi dan seperti memikirkan sesuatu.
            “Kasihan awak Nuha. Sepatutnya sejak dulu, awak dah dengar nasihat saya. Tapi awak ikut juga pujukan emak awak tu! Entah kenapa mak awak tu takut sangat kau jadi tua!” kata Kartika memulangkan paku buah keras. Kelu lidahnya hendak berkata lagi.
            “Itulah kesilapan saya. Macam awak tua-tua tak kahwin pun tak apakan? Kita seharusnya masih macam ni! Tak perlu saya menukar bentuk kehidupan saya! Ah, kenapa saya dengar pujukan emak dan kakak saya?” kata Nuha Qarina bagaikan menyesali segala apa yang sudah berlaku kepada dirinya.
            “Jangan macam tu Nuha. itu takdir namanya Nuha. jangan menyesali apa yang berlaku. Ika tak mahu awak rasa sesal dengan apa yang berlaku. Nampaknya Aliff tu macam nak awak semula, awak tak mahukah terima dia Nuha?
Namun, saya akan tetap bantu awak kalau saya mampu. Awak kan sahabat saya? Siapa lagi yang bantu awak kalau bukan saya? Minggu depan kalau awak dah jalan saya akan pindah ke rumah mak saya di Taman Khidmat, Kolombong. Biarkan laki awak tu sasau mencari awak kan?” kata Kartika lagi memujuk Nuha Qarina yang masih nanar dengan apa yang baru berlaku. Mereka sama-sama ketawa kemudiannya. Nuha Qarina memeluk erat sahabatnya sejak di bangku sekolah itu.
            “Ya biarkan dia. Saya malu hendak berjumpa dengannya. Saya selalu mengelak tapi dia begitu pandai mencari saya Ika. Tapi, hari esok dia sudah terbang ke London katanya semalam. Jadi, kita tak perlu risau!” kata Nuha Qarina separuh ragu. Dia tidak bertanya bilakah lelaki itu akan balik ke tanah air, sama ada dalam minggu ini atau dua minggu kemudian. Biasanya lelaki itu berurusan sehingga dua minggu lamanya di sesuatu tempat tetapi paling awal dia akan berada di sana selama tiga hari. Nuha Qarina merancang sesuatu dalam mindanya.
            “Ika, dua tiga hari ni awak sepatutnya pindah dan saya akan berangkat menaiki teksi, awak jangan bimbang ya!” kata Nuha Qarina mencadangkan perpindahan Kartika yang dikenalinya sejak kecil itu.
            “Saya akan menurut arahan puan!” kata Kartika lagi. mereka sama-sama ketawa lagi.
            “Ika, err…”
            “Ya, ada apa Puan Nuha?” Nuha Qarina memandang tajam ke arah sahabatnya Kartika. Dia bagaikan tidak dapat meninggalkan sahabatnya itu. namun, dia harus meneruskan persekolahannya yang masih bersisa.
            “Jangan kau bergaya nak berpuan-puan dengan saya! Boleh tak awak tolong saya ni? Saya ni sungguh-sungguh ni!” seketika dia bersuara. Kartika begitu tenang memandangnya. Inilah saat-saat akhir mereka bersama. Tidak lama lagi Nuha Qarina dan Kartika akan berpisah buat beberapa tahun lamanya.
            “Tolong apa Nuha? saya ni sedia berkhidmat untuk Negara saya!” soal Kartika lagi. mereka sama-sama ketawa.
            “Tolong kembalikan kunci kereta ini. Kalau awak mahu awak pakailah kereta saya tu! Tapi kalau awak tak mahu tolong kembalikan kunci kereta tu kepada yang empunya diri! Kalau awak tak mahu kereta saya tu, tolong kembalikan ke rumah emak saya di Kinarut sana. Saya hanya akan ambil pada empat tahun akan datang, itupun kalau saya panjang umur, kalau tak, apa boleh buat!” kata Nuha Qarina seperti memberikan amanah terakhir.
            “Ya saya akan tolong Nuha, jangan risau. Hanya serahkan kunci sahaja kan! Semuanya mudah untuk diuruskan!” Kata Kartika lagi. Nuha Qarina hanya tersenyum dengan kelucuan dan mimik muka yang dibuat oleh Kartika itu.
            “Terima kasih Ika. Hanya awak sahaja sahabat dan saudara saya dalam dunia ni!” kata Nuha Qarina. Dia semakin sayu dalam hari-hari terdekat dia akan berangkat ke luar negeri ini.
            “Nuha, apa lagi urusan awak selepas ni! Mari saya tolong awak hari ini, saya tahu malam tadi awak tak makan dan tak tidur! Saya tahu awak dah jatuh cinta kat suami awak tu kan? Tapi dia dah madukan awak kan? Bagaimana awak nak luahkan segalanya tu kan?” kata Kartika lagi semakin mengusiknya.
            “Jangan kau nak mengada-ada! Cuma, aku nak beli barang-barang di pasar saja. Ada makanan yang nak aku bawa nanti!” kata Nuha Qarina yang sudah bersedia dengan apa yang berlaku kepada dirinya.
            “Baik saya sedia menjadi pemandu! Jadi, sementara awak bersiap, saya pergi ke pejabat dulu, ada sesuatu yang saya nak uruskan di kedai tu. Tentang tempahan yang tak selesai tu!” kata Kartika. Nuha Qarina sudah menganggukkan kepalanya ketika dia sudah pun berlalu. Nuha Qarina masih terkalut melihat barang-barangnya di atas katil itu. Bunyi kereta Kartika sudah berlalu. Nuha Qarina berbaring semula di atas katilnya. Dia bagaikan masih mengantuk kerana tidak dapat tidur semalaman. Entah apa yang difikirkannya, dia sukar hendak menelaahnya. Tiba-tiba dia mendengar bunyi hon dibunyikan. Terkejut sakan dia. Langsir di bilik tamu disingkapnya. Kereta Mercedes hitam sedang berada di sana.
            ‘Siapakah yang datang ni? Aliffkah?’ soalnya cemas. ‘Ya Allah, kenapa dia datang? Bukankah dia hendak ke London pagi ini?’ soal Nuha Qarina lagi penuh cemas.
Pakaiannya semalam belum ditukar lagi. dia mengambil keputusan untuk membeku di dalam rumahnya itu. tetapi, keretanya masih terpaku di luar, apa yang harus dilakukannya? Berkurung atau keluar menemui suaminya? ah, lelaki itu sudah memasuki ruang halaman rumah mereka ini. Pintu sudah diketuk. Mujurlah rumah itu sudah berkunci.