Wednesday, April 8, 2015

Salwa Maisara Bab 27

Bab 27

“Eh, kenapa sayang tidur kat bawah? Berlapikkan sejadah pula tu!” kata Syed Muhammad Budriz apabila dia tersedar dari tidurnya. Dia cepat-cepat bangun dan mengangkat isterinya ke katilnya. Sejak tadi isterinya ini menjauhkan diri daripadanya. Apa yang berlaku? Takkan takut kerana dia memeluknya tadi? memang dia kena memeluk isterinya ini, kalau bukan dia yang peluk siapa lagi? Kalau dia bukan peluk isterinya siapa lagi yang hendak dipeluk? Takkan nak peluk batang kayu pula kan!
            “Luasnya katil ni! Boleh-boleh awak tidur kat bawah ni! Sejuk tahu tak!” kata Syed Muhammad Budriz. Salwa Maisara memang sudah tidak sedarkan diri. Walaupun dia angkat ke katilnya ini, Salwa Maisara tetap tidak bergerak. Memang sah tidur mati!
            “Kenapa ni? Merajuk ke ni? Takkan abang peluk sikit tak boleh!” soalnya. Apa yang mama cakap kepada isterinya ya? Dia mengambil telefonnya. Tadi dia sedar ada bunyi di telefonnya tetapi dia biarkan. Mencari teman wanitanya, dia sudah lelah. Gadis itu menghilang entah ke mana. Biasanya, elok sahaja dia bertemu di kedai makan atau di mana-mana yang mereka suka. Tetapi sudah tiga malam dia tidak mendengar suara gadis manis itu. Ada rindu, ada kasih yang tertinggal.
            “Kekasih merajuk, isteri pun merajuk! Macam mana ni!” katanya sendirian. Dia garu kepalanya yang tidak gatal.
            “Ada mesej!” katanya.
            “Siapa?” soalnya dalam hati.
            “Natallie?” katanya. Memang dia teruja melihat mesej gadis itu. Dia membaca satu persatu mesej itu.
            “Kenapa cari saya? Saya kan di Indonesia!” kata Natallie Juliana. Dia terus mendail nombor gadis itu. Namun dia hampa, dia hanya disambungkan kepada peti suara. Gadis itu masih tidak dapat dihubungi. Tetapi kalau dia tahu gadis itu di Indonesia, oklah tu. Tetapi dia masih tidak puas hati dengan pemberitahuan gadis itu. Dia mahu bertemu dengan gadis itu macam sebelum dia menikah dahulu!
            “Masalah! Mama dah berikan dia masalah! Masalah syarikat lagilah masalah besar! Tapi masalah dengan isteri lain pula halnya!” rungutnya.
            “Kenapa dia ditakdirkan kahwin dengan gadis di sisinya ini?” dia memang tidak rela. Akibatnya dia macam kayu ketika mereka bernikah dahulu. Dia memang tidak suka diatur-atur. Tetapi ibu bapanya ini agak pandai juga memujuknya.
Kalau dia tidak mahu kahwin, separuh daripada harta yang akan diwariskan kepadanya akan diserahkan kepada beberapa buah yayasan rumah anak yatim. Ah, kalau dia yang jenis pemurah dan pemberi, biarlah harta itu digunakan untuk kebajikan. Tetapi, dia bertindak untuk setuju. mamanya pun ada agenda tersendiri yang dia tidak tahu. Pandai sungguh!
Dia pandang wajah Salwa Maisara yang tidur pulas itu. Wajah itu putih bersih dan agak cantik. Memang cantiklah gadis ini. Ya memang gadis lagi. Alis matanya tebal dan terbentuk elok sahaja di atas matanya. hidungnya tidak berapa mancung tetapi tetap elok dipandang jika bersama dengan matanya yang bagaikan ekor sirih dan bibirnya yang mungil. Dia tepuk dahi.
‘Ah, sudah! Dia sudah menelek-nelek wajah cantik isterinya ini. Tidur elok dengan mengenakan pula bertelekung. Ketika gadis ini solat, dia sudah tertidur. Dia juga agak keletihan. Entah esok atau lusa dia akan membawa isterinya balik ke rumah ibu bapanya di Pahang. Terasa janggal pula dia hendak balik ke negeri isterinya itu. ah, kerana gadis ini sudah menjadi isterinya, tidak elok pula rasanya jika dia tidak membawa isterinya ini bertemu ibu bapanya. Dia tidak mahu dituduh suami yang tidak adil!
Tetapi dia sudah membuka telekungnya tadi dan kini rambutnya yang panjang hingga paras bahu itu agak ikal sedikit dan kekuningan. Ya, memang agak cantik juga gadis yang diciptakan untuknya ini. Ah, ya ke untuknya?’
            Perlahan dia memegang tangan isterinya dan mengucupnya lama. Entah kenapa dia ingin juga ada isteri. Hehe! Dia duduk di birai katil itu. Kemudian, dia memandang lagi wajah isterinya.