Saturday, March 28, 2015

Novel Salwa Maisara Bab 25

Bab 25

“Alhamdulillah dah sampai pengantin baru yang ditunggu-tunggu ni!” kata mama mentuanya. Kata suaminya panggil emaknya sebagai mama. Papa mentuanya Syed Badaruddin juga tercegat di muka pintu dengan senyuman manisnya. Mereka bersalaman dan berpelukan dengan mama mentuanya.
            Matanya masih terbuntang melihat ruang tamu rumah ibu bapa mentuanya yang macam padang bola dan lengkap dengan segala perabot yang tidak begitu menyemakkan kepala. Ruang tamu rumah mentuanya ini belum tentu menyamai keseluruhan ruang rumahnya. Rumah mereka di kampung hanyalah rumah semi-detached yang dibeli emak dan ayahnya semasa masih bekerja. Dia tahu dia tidak setanding keluarga suaminya ini. Entah mengapa ibu bapanya memilih keluarga Syed Muhammad Budriz ini menjadi keluarganya. 
            “Apa khabar mama?” soalnya.
            “Baik nak Salwa. Syukurlah kamu selamat sampai ke sini! Mama bimbang dengan kejadian-kejadian yang berkaitan dengan boeing sejak akhir-akhir ini. Kapal terbang MH17 pun belum sampai mayat-mayat mereka dari Ukraine-Rusia sana! Kasihan mereka!” kata Datin Syarifah Fauziah. Mahu menangis dia memandang wajah wanita agak berusia itu. Namun dia nampak muda dari usianya yang sebenar.
            “Ya mama, nasib baik kami selamat mama,” kata Syed Muhammad Budriz. Namun apa yang memukau matanya ialah suasana rumah keluarga Syed Muhammad Budriz yang bagaikan mahligai indah itu. Memang semuanya tidak ada di kawasan perumahan mereka di Pahang. Setakat lampu kristal pun rumah mentuanya itu sudah nampak berkilau-kilau dari jauh.
            “Syukurlah kamu selamat sampai sini! Marilah kita duduk di sini,” kata mama mentuanya yang membawa mereka duduk di sebuah ruang tamu. Sofanya berwarna hitam. Papa dan suaminya terus sahaja berjalan-jalan di ruang luar yang agak tenang.
            “Bagaimana dah jadi isteri ni Salwa? Anak mama ok tak? Dia tak marah-marah kat Salwa?” soal mama mentuanya bagaikan polis. Dia geleng.
‘Sebenarnya anak mama menakutkannya! Nasib baik terjumpa dia sarapan dengan Indra Roslan, kalau tidak belum mereka akan balik bersama hari ini!’ katanya dalam hati. Entah-entah lelaki ini sudah sedia hendak menceraikan dia. siapa tahu?
            “Tak de mama! Dia ok aje!” katanya. Mama mentuanya memegang tangannya. Anak lelakinya pun tidak pernah semesra itu.
            “Oh syukurlah. Mama takut dia berkasar dengan menantu mama ni! Tak pe kalau dia tak elok dengan menantu mama, beritahu mama, jangan segan-segan!” kata Datin Syarifah Fauziah. Apa yang dia hendak jawab? Mereka hanya mula sebagai kawan dan bukannya sebagai pasangan suami isteri yang lain. Memang kena juga cara lelaki itu.
Kalau mereka tidak serasi, mereka boleh memilih penceraian atau perpisahan. Tak ada gunanya sebuah perkahwinan ini diteruskan jika tidak ada persefahaman.
            “Kenapa Salwa? Tak sesuai dengan anak mama?” soal Datin Syarifah Fauziah. Dia geleng. Mukanya kelat. Susah dia hendak menjawab.
            “Kami sedang menyesuaikan diri mama!” katanya agar mereka kelihatan seperti suami isteri yang bahagia. Haha!
            “Eh, kak ipar dah datang lah! Eh... bukan kak Natallie lah! Saya ingat abang kahwin dengan kak Natallie!” kata gadis manis yang baru bersalaman dengannya itu. gadis itu datang dengan skirt labuhnya yang berwarna merah hati agak kembang dan baju t-shirt berwarna putih. Rambutnya disanggul tinggi. Paras rupanya memang cantik. Mukanya bujur dan kulitnya putih bagaikan kulit telur. Memang halus dan licin. Kalah cantiknya Neelofa. Siapa sebenarnya gadis ini? Dia tertanya-tanya dalam hati. Ah, inilah akibatnya kalau tidak berkenalan dengan suami sendiri!
Tersayatnya hatinya Tuhan sahaja yang tahu. Ketika mereka bernikah memang adik suaminya ini tidak ada. Entah dia di mana. Dia benar-benar tidak mengenali suaminya. Dan, suaminya pun tidak mahu bercerita apa-apa mengenai keluarganya. Dia hanya memberitahu yang dia hendak balik ke Kuala Lumpur. Dia macam kerbau dicucuk hidung, asyik menurut sahaja.
            “His, kau ni Sofie! Apa hal cakap macam tu! Sejak bila kau kenal dengan Natallie yang mama tak suka tu?” kata Datin Syarifah Fauziah dengan muka masam. Dia hanya diam tetapi dadanya berombak ganas. Memang benar suaminya memang ada kekasih sebelum menikahi dia. Sudah dia cakap, suaminya kena kahwini kekasihnya kalau dia mahu! Dan, ceraikan dirinya.
            “Tu lah mama aje yang tak tahu! Kami dah selalu jumpa bakal kakak ipar tu mama!” kata gadis yang dipanggil Sofie itu. dia nampak belum matang tetapi sangat mengenali gadis yang bernama Natallie yang selalu dia sebut-sebut itu. benarkah itu kekasih Syed Muhammad Budriz?
            “Maafkan mama Salwa, ini mama kenalkan Syarifah Sofiah, anak kedua mama. Dia ni masih belajar di Kolej Lim Kok Weng. Tak suka nak jauh-jauh katanya!” kata Datin Syarifah Fauziah. Dia hanya diam dan menyalami tangan Sofie dengan penuh kelembutan. Sebenarnya hatinya terluka. Suaminya pula sudah bersembang dengan papanya. Dia keseorangan. Tetapi lelaki tu pun sama! Mereka mesti bersekongkol sebab itu melibatkan kekasihnya.
            “Harap kak bahagia dengan abang,” kata Syarifah Sofiah sinis. Ah, kata-kata itu doa atau penghinaan? Soalnya dalam hati. Dia memaniskan mukanya.
            “Terima kasih Sofie...” katanya.
            “Hati-hati kak Salwa. Natallie tu pantang haknya diambil!” bisik Syarifah Sofiah. Marak matanya. Ingat dia gentar? Soalnya dalam hati.
Memang dia tidak akan takut bersaing dengan gadis itu! Apa kata suaminya semalam? Kenapa dia tidak mahu mempertahankan suaminya daripada godaan sesiapa? Soalnya. Buat apa dia mempertahankan suaminya kalau sekelumit cinta tidak ada pun untuknya? Lebih dia berambus sahaja dari hidup suaminya itu. Itu lebih baik dan lebih menenangkan hatinya. Dia percaya itu.
            “Cakap kat dia, saya pun tak hingin!” katanya tegas. Marak matanya. mata Syarifah Sofiah juga marak, malah seperti terkejut dengan ketidakgentarannya!
            “Maksud kakak?” soal Syarifah Sofiah. Dia mula resah. Mungkinkah dia sudah terlajak kata? Ah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya.
            “Maaf, maafkan kakak!” katanya memohon maaf dari adik iparnya itu. Syarifah Sofiah menyengih memandangnya. Ada dia peduli?
            “Sofie, bawa kakak duduk kat sofa. Pasti kakak tu penat! Baru aje sampai dari Kota Kinabalu!” Celah Datin Syarifah Fauziah. Nasib baik kalau tidak, pertengkaran sudah berlaku. Dia tarik nafas.
            “Mari kak, kita duduk sana.” Kata  Syarifah Sofiah. Dia menurut. Gadis ini memang agak celopar mulutnya. Namun siapa dia hendak menegah?
            “Ya, mari.” Katanya.
            “Kak kenal abang Riz berapa lama?” soal Syarifah Sofiah macam polis. Mamanya hanya mengikut mereka dari belakang.
            “Tak kenal. Mak ayah yang tunangkan.” katanya jujur. Bertambah marak mata gadis manis yang bermata galak itu.
            “Tak kenal? Ingatkan kenal!” soal Syarifah Sofiah. Dia menggeleng. Mereka memang hanya kenal dalam dua minggu begitu, terus aje kahwin. Dia percaya juga kepada pilihan ibu bapanya.
            “Takkan Sofie tak tahu yang kakak ni dijodohkan dengan abang awak. Tak elok kak nak menolak. Walaupun pelbagai spekulasi yang kak dengar!” katanya bercakap dengan penuh profesional. Syarifah Sofiah cuba tersenyum. Mungkin faham dengan kata-katanya.
            “Oh macam tu! Kakak terpaksa bersaing dengan kawan wanita abang lah kalau macam tu! Saya tak tahu pun setakat mana keintiman mereka. Apa yang Sofie tahu, mereka dah kenal rapat! Malah abang dah bawa kami jumpa Natallie tu!” kata Syarifah Sofiah. Dia angguk. Selepas ni nanti banyak bahan yang akan digunakan untuk membuatkan suaminya melepaskannya.
            “Tak perlu nak bersaing! Kalau dia nakkan kekasihnya, dia boleh jalan!” katanya perlahan. Kata-kata itu tambah memarakkan mata adik iparnya. Tidak tahu pula kalau hati adik iparnya marah bagai kayu disimbah minyak gas! Dia tidak akan peduli!
            “Betul? Akak rela bermadu?” soal gadis itu. Entah berapa usianya. Mungkin dah lepas SPM dah gadis manis ni tetapi mulutnya macam pisau boleh memotong sesiapapun yang dia suka.
            “Bukan rela bermadu tapi kak rela diceraikan!” kedengaran tawa kecil Syarifah Sofiah.
            “Kak ni mudah mengalah!” kata Syarifah Sofiah lagi. Dia diam. Sebenarnya mahu mencari kata-kata lain. Jangan dia sahaja yang asyik diperkotak-katikkan. Sakit hatinya! Dia memang tidak mahu mengalah kalau suaminya memang teguh mencintainya. Tetapi suaminya mencintai orang lain. Dia tahu!
            “Tapi jangan risau, abang Riz tu baik orangnya!” kata Syarifah Sofiah lagi. Pelayan datang membawa minuman. Memang kebetulan dia haus. Sudahlah kerongkongnya kering kerana sering beradu pandang dengan suaminya. Sekarang tekaknya kering kerana terdengar kata-kata menyakitkan Syarifah Sofiah ini. Mama mertuanya hanya mendiamkan diri.
            “Ya harap-haraplah dia lelaki yang baik!” katanya.
            “Silakan minum kak! Selepas ni kak rehat dulu, solat dan barulah kita makan malam,” kata Syarifah Sofiah yang terlebih peramah pada petang ini. sebenarnya dia letih hendak memikirkan mengenai suaminya tetapi mendengar kata-kata adik iparnya akalnya bekerja keras semula.