Wednesday, April 16, 2014

Cinta Sang Pilot 15

Bab 15

“Tak boleh!” kataku memecah kebuntuan kami berdua. Suasana di rumahnya ini memang hening dan mendamaikan. Aku jatuh suka kepada tempat ini buat pertama kali memasukinya. Tetapi, aku terbayang dewan kuliah di mana aku akan belajar pada minggu depan. Hanya kedengaran bunyi kipas sahaja. Mata bundar berbentuk cantik itu memandang aku dengan kehairanan.
            “Kenapa tak boleh?” soalnya bersungguh-sungguh.
            “Ada kelas.” Jawabku.
           “Kelas? Kelas apa?” soalnya terasa pelik. Memanglah pelik. Tetapi bagi seorang guru yang bergelumang dengan ilmu dan para pelajar, ada kelas bukan perkara pelik. Ia perkara biasa. Perlukah aku terangkan aku sedang mengambil sarjana untuk memantapkan tahap pendidikanku? Ah, mungkin dia tidak mahu tahu.
            “Saya ada kelas lah! Kelas pun tak faham!” dia mengerutkan dahinya. Mungkin semakin pelik. Aku pula malas mahu menerangkan panjang-panjang. Segan berdua-duaan dengan sepupu sendiri di ruang asing ini.
            “Di sekolah?” aku angguk. Memang aku ada kelas di sekolah pendidikan sekarang ini. Hanya tinggal setahun sahaja lagi pengajianku akan tamat. Selepas pengajianku tamat aku akan menumpukan kepada pelajar-pelajarku pula.
            “Sekolah awak untuk UPSR?” dia tidak puas hati. Tidak ada kelas tambahan pada minggu ini. Syukurlah, guru besar kami memberi kelonggaran.
            “Bukan! Sekolah pendidikan saya!” kataku memberikan pencerahan kepadanya.
            “Sekolah pendidikan buat apa? Bukankah awak mengajar di sekolah rendah?” soalnya. Dia masih tidak faham dengan situasiku. Berkerut-kerut dahinya.
            “Saya yang kena ajar Encik Nukman! Masih tak faham?” dia angguk.
         “Awak buat apa lagi nak sambung belajar, baik awak berhenti kerja dan buat perniagaan. Lagi senang!” katanya. Aku tidak ada modal jika hendak memulakan perniagaan. Kenapa lelaki ini menyuruh aku berniaga, dia hendak berikan aku modal?
            “Tak naklah, saya masih nak kerja. Belum ada niat nak berhenti kerja. Awak pun tahu kan?” kataku. Dia angguk.
            “Kat mana awak punya kelas?” Soalnya perlahan-lahan. Tanganku dipegang. Aku pula seperti terkena renjatan elektrik dan terus menarik tanganku. Dia pula tersengih.
            “Dekat dengan rumah saya juga. Pensyarah yang sudah tempah satu dewan di situ.” Kataku bertambah segan.
            “Tak apalah, saya hantar awak hari-hari.” Katanya. Aku renung mukanya. Apakah dia tidak bergurau denganku? Jarak antara rumahnya dan rumahku bukannya dekat. Buat apa dia hendak hantar dan jemput aku? Aku pun lebih suka pergi sendiri. Aku tidak suka menyusahkannya.
            “Taklah, saya tak mahu menyusahkan awak. Saya kena balik ke rumah sewa saya pada hari Ahad dan akan menghadiri kelas pada hari Isnin. Kami pun sudah janji dengan kawan saya. Awak tak perlu susah-susah pula untuk saya.” Kataku tidak mahu menyusahkannya. Aku juga tidak mahu dia terpaksa berdepan denganku 24 jam di rumah mamanya.
            “Pindah rumah saya.” Itu arahan atau permintaan? Dia pandang aku sekilas. Aku turut pandang wajah kacak itu.
            “Buat masa ni tak perlulah saya nak menyusahkan awak. Rumah awak ni jauh dengan sekolah saya.” Dia memandang jauh ke depan. Kelihatan pelik wajah itu. kenapa pula aku disuruh pindah ke rumahnya itu? Aku pula jenis yang bangun lambat. Kalau rumah dekat, mudahlah aku ke sekolah setiap hari. Tetapi kalau rumah jauh berpuluh kilometer, alamat hari-hari aku punch lambat. Merahlah alamatnya punch card aku. Alamatnya, aku terpaksa menghadap guru besar lah nampaknya. Eh, tak mahu aku buat hal!
            “Mana ada menyusahkan. Kalau awak nak,awak gunakan kereta saya. Atau awak mohon pindah sekolah. Dekat dengan rumah kita ni.” aku spontan menggeleng. Aku belum mahu pindah ke mana-mana.
            “Ha! Pindah?” dia angguk. 
            “A'ah, pindah sekolah. Awak terkejut?” Aku bagaikan terkejut katak lantas mengangguk. Memanglah aku terkejut apabila disuruh pindah sekolah. Selama ini aku tidak pernah terfikir hendak pindah tempat mengajar.
            “Tak naklah! Saya belum sedia lagi. Saya baru lagi mengajar di sekolah ini. Tak mahulah nak balik-balik pindah! Saya seronok di situ!” kataku dengan panjang lebar.
            “Terpulanglah, saya tak kisah. Tapi saya tak mahu mak ayah awak anggap saya tak pedulikan awak sebagai isteri saya. Nanti apa kata mereka.” AKu garu kepala yang tidak gatal. Aku memang tidak berminat hendak berpindah ke rumah lelaki ini. Tetapi apabila mengingati emak dan ayahku, ada benarnya juga kata-kata Nukman Faris itu. Namun, bukankah kami ada perjanjian sebelum menikah hari itu? kami bersama takkan lama. Sampai waktunya kami akan berpisah. Jadi, kenapa dia hendak mencederakan hatiku sendiri dengan berpindah ke kondo mewah lelaki ini? Bukankah baik jika aku hanya duduk di rumah sewaku sahaja bersama kawan baikku Shamira. Buat apa aku hendak menyusahkan diri berpindah ke sini. Ayah dan emakku bukan kisahpun aku duduk di rumah mana pun!
            “Tapi...” aku memikir. Aku mencari ayat terbaik untuk diberikan kepada lelaki itu.
            “Tapi apa? Awak takut?” Aku menggeleng.Aku tidak pernah takutkan sesiapa.
            “Tak lah. Tak ada apa-apalah.” Jawabku serba-salah.
            “Jadi?” keningnya yang tebal diangkatnya. 
            “Biarlah saya di rumah sewa saya dulu. Tak perlu saya pindah ke mana-mana. Lagipun awak bukannya kerja di dalam negara, awak selalu tak ada di sini,” itulah alasanku untuknya. Aku rasa itu alasan terbaik.
            “Rumah ini ada security.” Itu hanya alasannya. Aku menggeleng. Selama inipun dia tidak pernah pedulikan keselamatan rumah sewaku. Kenapa kali ini dia hendak berbuat baik pula. 
            “Saya tak boleh nak pindah buat masa ini Nukman. Terima kasih je lah.” Kataku membuat kesimpulan. Sebenarnya aku mahu memberitahu bahawa aku tidak ada hak untuk berada di dalam rumah suaminya ini walaupun kami sah sebagai suami isteri. Tetapi kami hanya suami isteri di atas kertas sahaja. Aku sedar ada gadis lain yang layak untuk tinggal di rumahnya ini. Jadi, sebelum hatinya terluka lebih parah dan berdarah, ada baiknya aku menjauhi lelaki itu. Sampai masanya kami akan berpisah nanti. Aku sedar siapa diriku. Dia bukan hendak merendah diri tetapi itulah hakikat pernikahan kami.
            “Tak apalah, jika suatu hari nanti berminat hendak pindah ke rumah kita ni, beritahu saya, pintu rumah ini sentiasa terbuka untuk Tasya.” Aku mengangguk. Aku tidak tahu bilakah hatiku ini akan terbuka untuk pindah ke rumahnya ini.
            “Ya, tapi saya tak tahu bilakah masanya itu. biarlah masa yang akan menjawabnya nanti.” Kataku. Kudengar dia mengeluh kecil. Aku pun kesal. Kenapa kami tiba-tiba terpaksa bernikah dan menjadi orang asing begini. Aku rasa lebih baik aku hidup seperti dulu. Tak ada suami pun tak apa. 
            “Saya harap, emak dan ayah Tasya tak akan persoalkan kenapa Tasya tidak tinggal di rumah saya ini. Tasya layak duduk di rumah ini.” Mahu sahaja air mataku mengalir bagaikan air deras semasa banjir. Dia terlalu terharu dengan pengakuan Nukman Faris namun aku benar-benar tidak mahu berpindah ke rumah ini. Biarlah aku duduk di rumah sewanya, itu lebih membahagiakanku!
            “Ini, Tasya ambil dan simpan.” Sebuah sampul surat putih diletakkan di tanganku. Mahu terbuntang mataku. Aku melihat apa yang ada di dalam sampul surat itu. Aku hairan kenapa dia harus meggunakan sampul surat ini
            “Apa ni?” soalku kehairanan. Aku terasa cemas. Mungkinkah surat cerai? Kenapa dia tidak berbincang denganku dulu. 
            “Nafkah.” Jawabnya sambil tersenyum.
            “Nafkah? Saya rasa tak perlulah awak beri wang begini banyak Nukman. Baik awak simpan saja wang ini untuk perkahwinan awak nanti.” Aku mula berasa sebak. Aku terasa dirinya seperti barang jualan pula. boleh dibeli dengan wang ringgit.
            “Tak, saya wajib memberikan nafkah kepada awak. Saya rasa serba salah pula.” jawabnya.
            “Ini terlalu banyak Nukman.” Kataku. Aku berasa tidak selesa.
            “Tak cukup? Nak saya tambah lagi?” Nukman Faris kenyit matanya.
            “Err cukup. Cukup!” jawabku teragak-agak. Dia sudah mengenakan aku.
            “jadi, kalau cukup, awak simpanlah. Apa pula masalahnya!” kata Nukman Faris. Mahu atau tidak dia terpaksa menyimpan sampul surat putih yang terletaknya wang kertas RM100.00 yang tersusun cantik itu. Apa yang mampu dilakukannya.
            “Jangan lupa awak berikan saya nombor akaun awak. Saya akan masukkan wang ke dalam akuan awak jika saya tak ada di sini.” Tambahnya.
            “Tak perlulah. Apa yang awak berikan ini sudah mencukupi untuk saya.” Kataku yang sungguh bersyukur dengan apa yang dia berikan.
            “Ini pula untuk mak dan ayah awak.” Katanya yang sudah menghulurkan sampul surat kuning pula. dia mahu pengsan saat itu. sampul kuning itu agak tebal juga malah agak sama denga sampul surat yang baru diterimanya.
            “Kenapa terkejut?” aku angguk. Siapa yang tidak terkejut.
            “Apa awak buat ni Nukman? Bukankah kita ni suami isteri di atas krtas sahaja, kenapa awak sampai memberi itu dan ini kepada saya dan keluarga saya?”
            “Awak nak saya batalkan perjanjian kita?” aku termangu. Aku tidak ada jawapan dengan soalan itu. Semuanya di tangannya.
            “Itu awak kena fikirkannya.” KAtaku memberikan kepercayaan kepadanya untuk membuat keputusan. Selama inipun aku rasa aku tertunggu-tunggu dan seperti tergantung-gantung akan hubungan kami ini.
            “Kalau saya batalkan, bolehlah kita macam ni?” dia sudah mendekatkan wajahnya ke wajahku dan meramas tanganku. Aku sudah ketakutan. Aku menolak tubuhnya. Dia terlalu kuat. Tubuhku sudah berada di dalam pelukannya dan bibirku, ah bibirku yang masih belum bersentuh itu sudah hilang aslinya. Aduhai. Mahu sahaja aku menangis. Meraung kuat-kuat. Aku lemas di dalam kucupannya. Kenapa dia buat aku begini?
        Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Kuat sekali lagi Miley Cyrus kudengari. Aku mendengar dia menarik nafas keras dan tertampar di mukaku. Mungkin dia tidak suka dengan panggilan itu. Aku pula bersyukur dengan panggilan itu. Dengan perlahan, dia terus melepaskan pelukannya dan mengambil telefonnya di poket seluarnya. Dia memberi isyarat agar aku duduk di sofa itu. Dia terus memasuki sebuah bilik. Mungkin bilik tidurnya.
            Aku pula cepat-cepat mencari kamar mandi. Aku tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengannya selepas ini. Apakah aku diperlakukannya macam...? Ah, lain yang kumahu lain yang dia buat! Nukman Faris, kenapa tindakannya sukar aku baca?
Ah! Sakitnya hatiku!