Thursday, May 8, 2014

Novel Isyarat Cinta Bab 26

Bab 26



“Wiyah, dia nak datang tak?” soal Puan Musliah seperti tidak sabar. Adawiyah angguk. Wajah lelaki itu terlakar di wajahnya. Sebenarnya dia sakit hati.
            “Wiyah dengar tak?” soal Puan Musliah lagi. Adawiyah mengangguk.
            “Datang, dia nak datang lah tu, dengan gembiranya dia nak datang mak! Jangan risau! Sebab dia yang gila nak kahwin!” kata Adawiyah.
            “Bagus, Wiyah pakai baju kebaya yang sudah mak beli petang tadi,” bulat mata Adawiyah.
“Mengapa begitu hebat persediaan emak? Siap beli barang lagi?”
“Anak mak hanya seorang. Jadi, mak tak mahu menyesal kemudian hari. Biarlah mak gunakan wang yang ada untuk meraikan anak mak yang seorang ni! Mak mahu tengok anak mak bahagia dan gembira!” kata Puan Musliah. ‘Mak, saya tak gembira dengan pernikahan ini! Saya tak suka dengan lelaki itu! Kenapa mak buat semua ini?’
            “Tak payah lah nak susah-susah mak. Saya nak tidur! Tertekan sungguh saya dengan gaya lelaki tu!” kata Adawiyah. Besar mata Puan Musliah.
            “Apa? Bakal laki kau nak datang, kau nak tidur? Eh, manusia jenis apa kau ni?” kata Puan Musliah. Bertambah sakit hatinya.
            “Mak dah sediakan pakaian tu. Kau pakai nanti malam. Jangan nak banyak cakap. Kau  layan bakal suami kau tu baik-baik! Mak tak pernah nak ajar sayang buat yang bukan-bukan! Tapi sayang pula buat sesuatu yang mengejutkan mak!” kata Puan Musliah.
            “Saya tak buat apa-apa mak! Percayalah saya! Dia hanya bawa makan di sebuah hotel pada malam saya balik tengah malam tu! Dia minta saya temankan makan! Katanya dia lapar! Walaupun saya sudah beritahu dia yang saya nak cepat! Dia tak nak dengar!” kata Adawiyah.
            “Sudahlah! Pergi siap dulu. Nanti mak ketuk bilik. Kami masak dulu apa yang patut,” kata Puan Musliah.
Adawiyah menurut sahaja arahan emaknya. Dia sedih kerana ayah kandungnya tidak pernah dia tahu di manakah gerangannya. Kalau boleh pada waktu penting begini dia mempunyai ayah untuk menjadi wali dalam pernikahannya nanti. Namun ia adalah sesuatu yang amat mustahil. Emaknya tidak pernah berkongsi perasaan dengannya mengenai ayahnya. Dia pun tidak tahu sama ada ayahnya masih hidup atau sudah meninggal dunia.
            “Baiklah mak, saya akan keluar nanti! Mak jangan risau!” kata Adawiyah dengan perasaan sebak.
            “Begitulah anak mak yang baik,” kata Puan Musliah. Adawiyah cebik tetapi tetap angguk kepala.

 ***
Baru sahaja dia masuk ke biliknya untuk bersiap, telefon antiknya berbunyi. Dia mengangkatnya walaupun nombor itu amat asing baginya.
            “Helo,” sapanya.
            “Adawiyah,”
            “Marina? Awak apa khabar? Maafkan saya, lama kita tak jumpa!”
            “Tak apalah! Saya faham masalah awak hari tu!” kata Marina Chang. Adawiyah mahu menangis. Dia baru sahaja gembira kerja di kedai milik Irfan, lelaki itu pula buat masalah! sakit hatinya.
            “Tak apalah, tak ada rezeki kita nak jumpa. Apa nak buat! Sepupu awak tu yang buat masalah! saya pun tak tahu nak cakap apa!” kata Adawiyah. Marina Chang ketawa. 
            “Saya! Betulkah awak nak nikah secepat ini? Kenapa saya tak tahu?” soal Marina Chang, sepupu Irfan. Mahu sahaja Adawiyah menangis mendengar suara Marina Chang.
            “Tak tahu lah Rina mungkin dah jodoh saya. Sepupu awak tu tak sabar-sabar sakit hati saya ni!” Kata Adawiyah semakin sebak.
            “Syukurlah kalau sepupu saya tu nikah dengan awak Wiyah. Saya sokong. Selama ini dia banyak kekasih! Saya sendiri pun susah hati! But, don’t worry, thanks to you. I hope you will happy until the end with my cousin!” kata Marina Chang yang sudah berbahasa Inggeris. Adawiyah hanya faham sedikit-sedikit.
            “Terima kasih Marina. Aku bimbang aje dengan ibu bapa dia yang tak dapat datang,” kata Adawiyah.
            “Jangan risau. Saya dah cakap dengan ayahnya Irfan tadi. Dia setuju dengan pernikahan ini. Esok saya pun akan datang, saya cutilah esok.” Kata Marina Chang.
            “Saya tunggu awak,”
            “Baju dah ada?”
            “Mana ada, baju saya ajelah!”
            “Dengarnya Irfan dah belikan awak baju kurung moden, cantik! Sarat dengan batu!” kata Marina Chang. Adawiyah ketawa. Bila masa lelaki tu beli? Tak suka dia mendengarnya!
            “Sempat dia tempah?”
            “Dia kata dah lama dia suruh kawannya pereka fesyen buat baju tu,” mahu terkejut Adawiyah. Lelaki itu penuh dengan persediaan.
            “Betulkah?”
            “Saya dah tengok tadi, memang cantik!” kata Marina Chang lagi.
            “Ya lah, jumpa esok lah ya, saya nak siap ni, dia nak datang!” kata Adawiyah.
            “Ok tapi esok Irfan tak bawa pun saya datang ke rumah awak! Saya tak dapat nak pegi lah Wiyah , siapa nak jaga kedai!” kata Marina Chang.
            “Ya tak ya jugakan! Awak memang tak patut pegi!” kata Adawiyah.
            “Irfan mana mahu kedainya rugi! Satu sen pun tak mahu rugi!” kata Marina Chang. Adawiyah tahu Irfan sangat berkira orangnya.
            “Awak yang fahamkan!”
            “Wiyah, kalau awak dah nikah nanti, kalau awak ada masa, awak datanglah ke kedai Irfan macam selalu ya. Mintalah Irfan hantarkan awak, kami sunyi sejak awak tak de. Sulaiman selalu tanyakan awak,” kata Marina Chang.
            “Pandailah awak nak reka cerita!”
            “Betul!”
            “Hmm, tengoklah nanti ya. Ok lah Rina, kita sambung nanti ya.” Kata Adawiyah menamatkan perbualan mereka.

 ***

Tepat pukul 8.30 malam, lelaki itu datang seorang diri. Tidak ada sesiapa yang menemaninya. Dia sendiri pun tidak meminta dia datang dengan sesiapa. Puan Musliah, adiknya Masniah dan Rauf dan Mak Janna sudah menunggu di ruang tamu akan kedatangan Irfan. Adawiyah pula sibuk di dapur. Adawiyah tidak disuruh masuk campur dalam urusan orang tuanya.
            “Assalamualaikum,” Irfan memberi salam. Rauf yang berada di depan pintu menyambut Irfan.
            “Walaikumsalam, silakan masuk. Datang seorang saja? Tak ada sesiapa?” kata Rauf. Rauf mewakili kakaknya.
            “Tak da, saya seorang. Ini baju untuk majlis esok untuk Adawiyah.” Kata Irfan menyerahkan sebuah plastik kepada Rauf. Rauf menyambutnya.
            “Terima kasih. Silakan duduk.” Irfan patuh. Rauf meletakkan beg plastik itu di atas sofa. Mak Janna dan Masniah disalaminya.
            “Kita terus kepada perbincangan utama ya. Saya ni Rauf, pak cik Adawiyah. Saya ni diwakilkan oleh mak Adawiyah untuk membincangkan hal ini. Ini Masniah, mak cik Adawiyah. Ini mak kami, Mak Janna, nenek Adawiyah.” Irfan angguk.
            “Ya saya faham. Teruskan.” Kata Irfan.
            “Apa yang sebenarnya berlaku ni? Kenapa tergesa-gesa nak nikah? Anak saudara kami tu masih belajar lagi. Dia belum layak nak kahwin. Boleh tak kalau kamu diikat dulu oleh tali pertunangan, jangan nikah dulu.” Kata Rauf. Irfan diam.
            “Tak boleh pak cik. Saya ni dah terlanjur nak nikah. Ibu bapa saya pun dah tahu. Saya tak kisah kalau dia nak sekolah dulu. Saya sedia menanggung sehingga dia habis belajar. Saya memang dah jatuh sayang kepada dia. Saya ikhlas nak ambil dia jadi isteri saya yang sah,” dengan penuh keyakinan Irfan memberitahu kemahuannya di depan pak cik Adawiyah yang bertubuh besar dan berkulit putih kuning itu.
            “Maksud pak cik, kita tunggu lagi tiga bulan ka, atau lepas hari raya?” soal Rauf.
            “Saya tak mahu biarkan lama-lama hal ini. Mungkin mak Adawiyah sudah beritahu tentang hal ini. Saya tak boleh nak tangguh akan hal ini.” Kata Irfan bersungguh-sungguh.
            “Baiklah, kalau macam tu. Kita setuju dengan sebulat suara. Tapi kami minta agar pihak Irfan akan menjaga anak saudara kami ini dengan baik. Kalau tak nak lagi, kembalikan kepada kami semula. Anak saudara kami ni tak ada ayahnya. Mak nya ibu tunggal jadi, tolong jaga anak saudara kami baik-baik. Kata orang bukan emas jadi ukuran, budi yang baik dipandang orang.” Kata Rauf.
            “Itu saya setuju pak cik. In sha Allah saya akan menjaga Adawiyah seperti saya menjaga nyawa saya dan menyayangi dia sepanjang saya masih bernyawa ini.” Kata Irfan.  Adawiyah di bahagian dapur tidak terkata.
            “Baiklah kalau begitu, esok hantar lah wakil kamu datang ke sini. Kami sedia menerima.” Kata Rauf. Irfan mengangguk.
            “Baiklah terima kasih ya pak cik.” Kata Irfan.
            “Lagi satu, siapa yang akan jadi wakil esok? Dengarnya ibu bapa kau tidak ada di sini.” Irfan agak terkejut.
            “Oh tentang hal itu pak cik, ayah dan emak saya dah minta tolong emak angkat saya dan ayah angkat Mak Temah dan Pak cik Taha serta beberapa orang AJK masjid.” Kata Irfan.
            “Ibu bapa kau mana? Kenapa bukan mereka yang datang sendiri?” kata Rauf. Mak Janna masih mendengar perbualan mereka.
            “Oh emak saya masih mendapatkan rawatan di Taiwan. Lagipun ayah saya ada urusan di situ.” Kata Irfan menerangkan kedudukan sebenarnya.
            “Sebenarnya saya bukan apa, pak cik bimbang jika ibu bapa kau tak setuju dengan pernikahan yang secara tiba-tiba ini. Tapi jika mereka sudah dimaklumkan mengenai hal ini, pak cik tak masalah.” kata Rauf lagi.
            “Ya pak cik. Ibu bapa saya memang sudah meminta Pak cik Taha dan Mak Temah untuk menjadi wakil sepanjang majlis ini nanti.” Kata Irfan.
            “Marilah kita sama-sama menikmati juadah malam pula. Kami ada sediakan makanan untuk makan malam,” pelawa Rauf. Irfan hanya mengikut sahaja.
            “Err, boleh saya cakap dengan Adawiyah kejap?” pinta Irfan.
            “Panggilkan Adawiyah,” bisik Rauf kepada adiknya Masniah. Masniah tergesa-gesa ke bahagian dapur.
            “Adawiyah, bakal suami kamu panggil,” kata Masniah. Adawiyah betulkan tudungnya.
            “Apa lagi yang dia nak? Tak sabar pula!” kata Adawiyah menghentak-hentak kakinya. Puan Musliah yang memerhatikan anaknya itu hanya menggeleng.
            “Entah, mungkin ada nak tanya.” Adawiyah menonong ke depan. Irfan tersenyum-senyum.
            “Awak nak apa lagi ni?” soal Adawiyah.
            “Wiyah, jangan kasar macam tu? Ada mak kamu ajar begitu? Eh, awak ni tak ada sikap pemalu lah pula! Kalau anak nenek dah lama nenek ketuk!” tegur Mak Janna. Adawiyah terkejut. Dia terkejut ada neneknya duduk di bahagian hujung sofa. Ingatkan neneknya sudah masuk ke bilik emaknya.
            “Tak apa lah nenek, Adawiyah ni memang begini tapi dia baik.” Kata Irfan yang tidak mahu bakal isterinya itu dimarahi di depannya. Adawiyah rasa malu. Wajahnya kemerah-merahan.
            “Silakan duduk encik,” kata Adawiyah. Mereka duduk berdepan. Irfan tersengih-sengih. Mak Janna jadi saksi.
            “Terima kasih.” Kata Irfan.
            “Apa hal?”
            “Sudah cuba baju yang saya bawa tadi? Saya nak tahu, kalau tak sesuai ada masa lagi saya minta kawan saya betulkan malam ni,” kata Irfan. Adawiyah tidak terkata. Sejak tadi dia sibuk di dapur membantu emaknya. Seorang jiran membantu mereka.
            “Baju apa?”
            “Baju kebaya biru firus.” Mata Irfan menikam hatinya. Pandangannya Tuhan sahaja yang tahu. Adawiyah cepat-cepat menundukkan kepalanya ke lantai berkarpet merah hati itu.
            “Oh tak cuba lagi. Mana awak letak?” Mak Janna tersengih-sengih.
            “Ada sana tu? Atas sofa tu!” kata Mak Janna.
            “Saiz apa?”
            “S lah kut!”
            “Ok lah tu! Tudung ada?”
            “Ada siap dengan aksesori, bukan saya yang pilih, kawan saya di butik tu yang cadangkan, saya ikut ajelah. Pegilah cuba dulu,” Adawiyah bergerak mencuba baju itu. Adawiyah keluar semula.
            “Oklah ni!” kata Adawiyah sudah membelek-belek baju itu. Memang cantik. Matanya berkilat memegang baju yang sarat dengan batu itu. Memang benarlah kata Marina Chang petang tadi.
            “Terima kasihlah! Awak susah-susah pula.”

            “Tak ada susahnya. Saya dah lama tempah baju ni!” kata Irfan. Terkejut Adawiyah. Setelah semuanya selesai, Irfan balik ke rumahnya pada jam 10.00 malam.