Thursday, December 26, 2013

Novel Cinta Sang Pilot 3

Bab 3



Pagi itu aku bangun awal. Selepas berbalas cakap dengan Nukman aku turun ke bawah. Aku mahu menemani emak menyediakan sarapan pagi. Aku pun tidak mahu pintu bilikku diketuk oleh emak atau lelaki itu bangun awal daripadaku. Selesai solat Subuh tadi aku mengejutkan dia dan terus turun ke dapur. Sebenarnya aku langsung tidak dapat melelapkan mata semalaman. Entah mengapa. Aku tidak dapat memaksa mataku sendiri. Kesemua perkara yang telah berlaku kepada hidupku ini terlalu ngeri bagiku.
“Assalamualaikum mak,” emak menjawab salamku sambil tersenyum. Tidak ada riak-riak marah lagi di wajah emak setelah berlangsungnya pernikahanku dengan Nukman Faris, anak saudaranya itu.
“Macam mana tidur semalam dengan orang baru, ok tak?” soal emak. Aku tersengih-sengih. Ah emak, macam tidak mahu faham. Lelaki itu kan aku baru jumpa, memang lah aku agak kekok dan sukar hendak membiasakan diri. Di dalam bilik aku asyik segan dengan dia walaupun lelaki itu adalah sepupuku. Walaupun kami bersepupu yang agak rapat tetapi kami tidak pernah sebegini rapat. Naik kembang muka aku sebab terlalu segan dengan sepupu. Huhu!
“Baik mak, tak ada yang tak baik.” Jawabku. Perasaanku cuak. Aku tidak tahu kenapa. Tangan emak lincah mengupas bawang.
“Mak nak masak apa?” emak menutup matanya. Pedih mungkin.
“Kira-kira nak masak nasi goreng. Nasi semalam masih banyak lagi tuh,” kata emak. Aku melihat periuk nasi yang paling besar penuh dengan nasi.
“Saya masaklah nasi goreng mak. Bukan selalu dapat makan masakan saya,” kataku bergurau. Emak mengangguk.
“Ya lah, nanti kalau mak tak setuju, anak mak merajuk pula.” Jawab emak. Pandai sungguh emak bergurau. Aku menghidupkan api dan  memanaskan kuali.
“Pandailah mak!” aku tepuk bahu emak. Sebenarnya aku sedih dengan apa yang berlaku namun aku berjanji tidak akan berkongsi dengan emak. Aku tidak mahu emak bersusah hati kepadaku. Sudah beberapa minggu emak memikirkan hal aku. Amri lagi satu, bekas tunangku.
“Mesti sedap Tasya masak kan mak,” tiba-tiba satu suara dari arah belakangku.
Meremang bulu romaku. Aku sangka dia akan menyambung tidurnya. Semalam bukan main dia menunjukkan syarat-syaratnya kepadaku. Hari ini dia tunjuk kemesraannya di depan emakku. Bukan main aku terkejut. Emak pula tersenyum-senyum manis memandang aku. Dia sudah berdiri di belakangku dan memegang pinggangku. Lebih meremang bulu romaku. Dalam hati aku berdoa, janganlah lelaki itu pegang-pegang tubuhku ini. Baru sahaja dia memarahi aku sekarang dia sudah memegang pinggangku. Apa yang harus aku buat? Menepis tangannya itu? Apa kata emak?
Bukankah kami akan bercerai tidak lama lagi? Sekurang-kurangnya pun aku akan bakal mendapat madu! Ah, sakitnya hati! Janganlah aku mati sebelum tercapai cita-citaku! Panjang sangat doaku sambil memohon dia melepaskan tangannya dari pinggangku.
“Lepaslah! Tak baik mak tengok, malu saya,” bisikku. Marah betul, dia masih meneruskan lakonannya. Macamlah aku suka! Dia tersenyum. Mata kami bertatapan semula. Ya Allah, matikan lah waktu dan aku dan dia ingin kekal bertatapan dengan senyuman manis begini! Rahmat Allah turun pagi ini. Aku sungguh bersyukur.
“Mestilah anak mak pandai masak Nukman. Sepupu merangkap isteri kamu juga,” kata emak. Aku cuak lagi. Dalam debar senyuman Nukman Faris singgah di wajahku menyebabkan bergetaran halus di dadaku ini. Aduhai, kenapa begini perasaan seorang isteri sementara ini!
“Mestilah anak mak kan? Isteri abang juga kan,” jawab Nukman Faris. Mahu bernanah telingaku mendengar pujiannya. 
“Tak lah, saya biasa-biasa aje, tak biasa masak kan mak!” kataku merendah diri. Emak hanya tersenyum manis. Aku pula tersenyum kelat.
“Nukman duduk di luar dulu sementara Tasya sediakan sarapan. Nukman nak minum air apa, nescafe, kopi, milo?” soal emak. Aku memasang telinga.
“Apa-apa saja mak, semuanya saya minum tapi mesti Tasya yang buat,” jawabnya yang sudah memeluk bahuku. Ya Allah mahu saja aku pengsan di dapur ini. Nasib baik aku mampu mengawal diri.
“Betulkah abang nak saya ni buat kan air?” soalku perlahan. Mataku kutundukkan menghadap lantai. Aku kalau boleh tidak mahu memandang matanya yang agak garang memandang aku. Kebetulan emak pula di sisiku. Emak menjelingku. Dia mengangguk.
“Ya Allah anak mak, kalau suami cakap dia nak air yang isterinya buat, betullah tu, apa pula nak tanya suami macam tu!” emak sudah membebel. Merah padam wajahku. Seketika Nukman Faris sudah mencuit pipiku yang merona merah.
Ya Tuhan hentikanlah waktu, alangkah bahagianya aku di sisi lelaki yang bernama suami ini! Kalau lah dia mahu menjadikan aku isteri seumur hidupnya, alangkah bahagianya aku!
“Sayang buat air sedap-sedap tau,” bisiknya di telingaku lantas mengucup pipiku yang sudah berbahang menahan asmara ini. Aduhai adakah ini mimpi?
Syukur dia tidak memilih makanan. Tetapi aku tidak tahu jika dia hanya berlakon sahaja. Ini kerana dia paling pandai berlakon dalam adegan kami ini. Sebelum ini dia tidak pernah begini. Kecuali semasa bersanding, dia menunjukkan mukanya yang ceria walaupun sesekali kami bertemu pandang dia jeling aku. Jeling suka atau benci?
‘Mak ai, bukan main demand pula dia!’ kataku dalam hati. Marah sebenarnya.
“Aduhai berkucupan lah pula pasangan pengantin ni depan mak dia! Tak puas-puas pula dalam bilik mereka ni!” kata emak mengusik kami.
Aku tidak tahu hendak meletak mukaku di mana ketika ini. Tebalnya kulitku mengalahkan kulit kawah hitam buat gulai daging semalam! Emak sentiasa memerhatikan kami rupanya. Dengan senyuman bangga dan bahagia pula tu! Dia ingat aku bahagia semalam? Huhu!
Tambahan lagi lakonan Nukman Faris yang mantap menyebabkan emak galak mengusik kami. Aku hanya menundukkan pandangan dengan dada bergendang hebat dan air mata berkumpul di kolam mataku. Benarkah Nukman Faris ini?
“Mak dan ayah kamu datang sini tak pagi ni Nukman?” soal emak lagi. Nukman Faris angkat bahu dan sebelah tangannya masih memegang pinggang keringku pula. Bertambah bergemuruh dadaku.
Ya Tuhan, kenapa lelaki ini melebih-lebih pula pagi ini. Kalau dia tidak begini, tidak adalah benda yang akan kukenang sepanjang hari ku nanti. Namun apabila dia sudah bertindak begini, apakah perasaanku? Aku terasa dipermainkan!
“Itu mak kena tanya dengan mama. Saya tak nak masuk campur,” katanya pula. Jawapan itu memang tepat. Ini kerana mereka berdua adik-beradik.
“Saya ke depan dulu sayang, mak,” katanya memanggil aku ‘sayang’ dan merendahkan tubuhnya untuk berdiri sepadan denganku, memandang wajahku yang masih merah padam dan jantungku yang kononnya terlompat keluar entah ke mana.
Berdebar semacam dadaku. Mahu melompat pun ada. Sejak dulu aku menyayanginya walaupun aku tidak pernah menyimpan harapan dia akan menikahiku. Kini, perbuatannya begitu menyebabkan darjah cintaku kepada sepupuku ini semakin menebal setebal novel cinta!
Namun pada saat mamanya dan emaknya merestui pernikahan kami, dia sudah ada orang lain. Memang menyakitkan hakikat itu namun aku tidak dapat menyangkalnya, mungkin sudah takdirku begini.
Ya Allah, macam mahu gugur jantungku. Kurasa sesaat ini, dunia ini aku yang punya. Sayangnya hanya sesaat. Selepas itu, aku tidak akan mendengar lagi suara lembutnya. Apa yang ada hanya pandangan matanya yang kejamnya  dan kata-katanya yang kurang sopan dari wajah kacak itu.
“Ya pergi dulu ke depan. Ayah kamu ada di situ, sedang ambil angin katanya,” kata emak menyelamatkan keadaan.
Aku terus memasukkan bawang dan ramuan  lain. Aku urut dada seketika, merasai debaran yang masih bersisa. Apakah ini cinta? Kenapa ketika aku bertunangan dengan Amri dulu aku tidak merasai getaran begini? Kenapa bersama yang tidak mencintai aku, memandang aku dengan jijik ini pula aku terasa sesuatu yang aneh? Apakah ini cinta? Aku tidak berani mengakuinya! Aku takut dituduh perasan pula!
“Sayang, abang ke depan dulu. Sayang masak sedap-sedap tau, abang dah lapar ni,” bisiknya di telingaku.

Tuhan, hentikanlah waktu, aku sangat bahagia saat ini. Bisikku dalam hati. Perlahan aku mengangguk dan tersenyum dengan senang hati. Tetapi apabila mengenangkan syarat-syarat perkahwinan yang sudah aku tandatangani,aku berasa diri ini tidak ada nilainya di mata lelaki itu. Tuhan, pinjamkan aku nafas aku rasa hendak mati saat ini!