Monday, December 2, 2013

Kuimpikan Bahagia Bab 3

3

“Sudahlah tu Nuha. Kau memang anak yang degil! Baik-baik kau bertunang dulu, awak putuskan! Ada orang suka kau pula tak mahu. Baik-baik kau dah kahwin, kau nak minta cerai dari lelaki tu! Apa yang sudah jadi dengan diri kau ni? Kahwin cerai, kahwin cerai? Sekarang apa lagi yang tinggal dalam diri kau tu? Kau nak kembali ke pangkuan Akmal Hakim tu? Tak usah diharaplah dia akan menerima kau kembali Nuha! Usah mimpi indah lagi dengan dia!” kata emaknya dengan penuh kesal.
Kakak sulungnyalah yang telah memperkenalkan dia dengan Aliff Safwan sehinggakan dia percaya betapa lelaki itu amat memerlukannya. Maka, dia pun membina kepercayaan bahawa lelaki yang bernama Aliff Safwan itu terlalu mencintai dirinya.
 Ah, kasih yang baru bertunas itu tidak ada sesiapa yang tahu. Lelaki itu masih diperlukan oleh bekas kekasihnya dan dia merelakan pula, di manakah haknya sebagai isteri? Walaupun lelaki itu tidak menceraikannya tetapi dia tidak rela dimadukan, aneh! Aneh kehidupannya kini.
Tetapi dia telah memberitahu keluarganya yang mereka telah bercerai dengan rasminya. Dia tidak  menuntut apa-apa nafkah untuk dirinya kerana baginya dia mampu membiayai dirinya. Aneh! Dua bulan berkahwin lantas bercerai, dan meneruskan kehidupan seperti biasa di sekolah tempatnya mengajar ini, memang aneh kehidupan seorang Nuha Qarina ini! Tetapi derita yang ditanggungnya boleh memakan dirinya sendiri. Cintanya berkubur tanpa nesan.
“Tidak ada keturunan mak yang baru dua tiga hari kahwin lalu bercerai! Kau memang dah memalukan mak! Di mana kau belajar benda-benda macam ni nak? Di mana nak letak muka mak ni? Mana nak taruh muka mak kalau Datin Hajah Hamidah tu tanyakan mak? Malu tahu? Malu! Eh, tak tahulah kau ni Nuha! Kau sudah memalukan emak! Tak tahu betapa malunya mak ni! Kau nampak saja diam dan lembut tetapi hati kau keras macam batu! Susah nak dilentur!” kata emaknya lagi berleter panjang.
“Mak, sepatutnya mak yang menyokong saya, memberikan saya kekuatan tetapi apa yang sudah mak lakukan? Mak tambah menghancurkan hati saya lagi! Mak, siapa yang nak bercerai-berai? Saya ni kalau boleh tak mahu kahwin dengan dia tu selepas saya putuskan tunang hari tu, sekarang hidup siapa yang terseksa? Siapa yang pandai-pandai mengatur hidup saya?
“Pandai kau menjawab ya!” bebel emaknya lagi.
“Bukan begitu mak! Bukankah saya sudah beritahu mak yang saya nak sambung pelajaran saya ke luar negara sementara saya masih bujang? Tapi, mak dan kakak degil, nak juga saya kahwin sebelum umur saya mencapai tiga puluh tahun! Tahniah, anda semua sudah berjaya!” katanya berani. Kakaknya hanya memandangnya, seketika menurunkan pandangannya, entah mengapa. emak pula masih melopong.
“Tetapi kau sepatutnya beritahu mak kenapa kau bercerai? Bukannya mendiamkan diri saja! Kalau boleh kita jumpa dengan Datin dan Datuk, emak bapa dia! Jangan buat malu macam ni!” kata emak lagi membuatkan aku rimas. Dalam waktu macam begini aku seharusnya hanya mengurungkan diriku di dalam bilik, tidur dan menangis atau mengutuk diri! Ah, itu kerja gila namanya! Bisiknya perlahan.
“Tak ada apa yang nak dimalukan! Tak ada apa yang dibicarakan lagi mak. Biarlah perkara ini didiamkan. Saya pun malas nak besarkan hal ini! Biarlah! Kalau, dia rasa dia hebat, biarlah dia memikat berapa wanita pun dalam hidup dia yang sekali itu!” katanya perlahan.
Dia bagaikan pasrah dengan apa yang berlaku. Dia berharap agar emaknya akan mengerti. Namun, becok mulut emak memperkatakan sesuatu masih tidak ada tanda-tanda dia akan menutup mulutnya. Mata emaknya memandangnya tajam tanpa kompromi. Dia masih terkilan dengan apa yang berlaku.
“Kamu yang bodoh nak! Susah-susah mak kahwinkan kamu secara besar-besaran, sekarang kamu dah bercerai! Tu pelamin masih belum dibuka, sekarang dah cerai! Kalau nak jadi gila, dah lama mak gila nak! Kalau mak ada sakit jantung dah lama mak mati nak! Mati oleh tindakan kau laki bini yang tak sedar diri tu!” kata emak lagi.
Kecut perutnya mendengar ungkapan emak. Ah, orang tua di depan ini sudah tidak tahu diam. Ini kerana dia yang banyak mengambil peranan penting dalam perkahwinan kami yang lalu.
“Sudahlah mak. Nuha tak mahu salahkan dia. Nuha tahu dia mempunyai peluang untuk membuat beberapa pilihan dalam hidupnya. Saya tak kisah mak. Nuha juga mempunyai pilihan!” kata Nuha Qarina perlahan. Terkejut emaknya dengan ketabahan yang dihadapinya.
“Patutlah jantan tu, lepas kahwin terus terbang ke Jepun, rupanya ada buah hati! Tak guna punya jantan! Kalau aku tahu begitu sikapnya, takkan aku terima pinangannya! Jangan-jangan kamu sudah buat apa-apa tak!” kata emak lagi. Dia mula meragui hubungan mereka.
“Tak apa mak, Tuhan tahu apa yang dia lakukan! Tak sempat nak fikir benda tu! Dia awal-awal lagi dah buat hal! Mahu tak mahu saya terpaksa memohon cerai secara baik mak! Jangan susah hati, saya pandai jaga diri!” katanya lagi. Gusar di hatinya hanya Tuhan yang tahu.
“Kita akan ajukan perkara ini kepada emaknya Datin Hamidah! Biar sakit jantung emaknya tu! Saya tak peduli! Saya akan memohon perceraian bagi pihak anak saya! Saya tak mahu menanggung malu!” kata emak berapi-api. Sebak dia dengan apa yang berlaku. Emaknya pula cuba mempertahankan nasibnya bersama Aliff Safwan sedangkan cintanya sudah terbang jauh.
“Jangan mak. Kasihan Mak Datin tu. Dia baik. Saya tak kisah dengan apa yang berlaku. Saya masih muda mak! Tak apalah mak. Jangan kerana benda sedikit ni kita nak memutuskan silaturrahim yang sudah lama terjalin. Saya tak suka mak!” katanya penuh ketabahan. Air mata tergenang di pipinya yang semakin cengkung. Hilang seri pengantin di wajah yang murung itu.
Kakaknya yang sulung yang berkawan baik dengan Datin Hamidah juga turut berleter panjang gara-gara penceraian yang baru berlaku. Namun, dia tidak mahu bercakap apa-apa. Cukuplah kalau dia memberitahu betapa antara dia dengan Aliff Safwan sudah tidak ada apa-apa hubungan. Semuanya sudah tamat. Tiga bulan perkahwinan mereka dia tidak mendapat apa-apa. Lelaki yang mulai dicintainya itu perlahan-lahan harus dilupakannya. Tidak ada satupun yang tertinggal untuknya lagi selepas kejadian itu.
“Tak usah dikenangkan lagi apa yang sudah berlaku. Kalau sudah tersurat begitu, apa yang mak nak cakap lagi. Tak usah difikirkan lagi dia tu. Sekarang kau kena sungguh-sungguh fikirkan dirimu itu. Dulu ada orang betul-betul kasih, betul-betul sayang, kau tolak, sekarang apa lagi yang mak nak kata? Kau memang anak buang tuah!” kata emaknya yang separuh tua itu menyambung bicaranya.
Ada sesuatu yang menggebu menyebabkan dia teringatkan bekas tunangannya itu. Namun semuanya tidak berguna lagi. Dengar khabarnya, lelaki itu sudah melanjutkan kursus kesarjanaannya di London. Dia tidak tahu bilakah lelaki itu bertindak nekad. Apa yang dia tahu ketika dia sudah dilamar usahawan muda itu, dia sudah menjejakkan langkahnya di sana. Kasihan dia!
Ada kesal di hatinya namun dia hanya mendiamkan dirinya. Tidak susah mendiamkan diri. Hanya kakukan diri dan duduk di atas sofa pembelian keluarga lelaki itu sebelum mereka melangsungkan perkahwinan tahun lalu. Kakak sulungnya hanya menjelingnya barangkali marah dengan tindakannya yang berdiam diri mendengar semua kata-kata yang lahir dari kedua wanita matang itu.
Suasana senyap. Dia mengambil beg tangan jenama Bonianya di atas meja di ruang tamu itu dan dia terus menyalami tangan emaknya. Dia tidak tahan berlama-lama melihat emaknya yang kesedihan itu. Malah, cerita-cerita lama turut dikaitkan oleh emaknya. Itu yang membuatkan hatinya bertambah nanar.
“Nuha pergi dulu mak. Ampunkan Nuha mak, Nuha yang bersalah kerana memalukan mak! Kalau mak ada perlu telefon saja. Sementara ni saya tinggal dengan kawan di Taman Kingfisher di Likas. Mak jangan susah hati ya, nanti mak sakit!” Katanya perlahan selepas menyalami tangan tua itu.
Terpana emaknya melihat tingkah lakunya. Bukan macam sebelum hari perkahwinannya dulu, dia seorang gadis yang kuat melenting dan tidak pernah ikut cakap. Tetapi hari ini status hidupnya sudah berubah. Dia bukan lagi Nuha yang tiga bulan lalu. Nuha Qarina yang ada di hadapan emak dan kakaknya ini bukan Nuha Qarina yang dulu lagi. Nuha yang di hadapan mereka kini sudah berstatus janda muda! Tiba di tangga dia menyalami kakak sulungnya yang sudah sedia menunggunya di sana. Kejang wajah itu sukar hendak dijangkanya. Wanita itu benar-benar masih marahkannya.
“Awak ni Nuha, tak boleh kalau orang cakap sikit, awak terus jalan! Tu lah nasib awak selalu lain daripada orang lain! Kuat sungguh kau melawan emak ya! Jangan macam tu dik, dengar-dengar sikit cakap mak awak tu! Nanti ketulahan susah tau!” kata kakak sulungnya yang biasa dipanggil Kak Ina itu.
“Maafkan Nuha! Nuha bukan melawan! Tapi inilah yang dikatakan nasib namanya! Saya pun tak mahu nasib saya begini tetapi apa boleh buat sudah nasib lah namanya! Lagipun saya bukannya suka sangat dengan lelaki itu! Kakak yang sungguh-sungguh nak kahwinkan saya! Saya ikut saja!” kata Nuha Qarina menjawab kata-kata emak dan kakaknya. Sayu hatinya kerana menjadi mangsa keadaan begitu.
“Ha, pandailah awak menjawab tu! Tak reti bahasa betul! Awak tak rancang hidup awak sekarang, tak tahu esok-esok apa yang akan terjadi! Sepatutnya sekarang ni awak mempertaruhkan kehidupan dan kebahagiaan awak dengan lelaki itu, bukan senang-senang nak bercerai. Kalau kak, kak tak mahu cerai dengan dia! Segala-gala dia boleh berikan, tak apalah kalau kasihnya terbelah!” kata kakaknya lagi. Ah, dasar mata duitan. Dengan adik sendiri pun nak diperangkap ke dalam mata duitan itu. Aduh!
“Saya tak rela diperlakukan begitu olehnya kak. Saya sanggup cerai dengan dia. Saya sanggup! Saya tak mahu terhutang budi dengan lelaki kalau dia bukan hidup untuk saya! Ah, sudahlah kak, malas nak cakap mengenai hal ini!” kata Nuha Qarina mempertahankan kasih dan pendiriannya.
Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi selepas ini. Dia sendirilah yang seharusnya yang mengatur hidupnya sendiri, bukan orang lain. Ah, entah kenapa dia begitu lembut sehingga mengikut telunjuk emaknya untuk berkahwin dengan Aliff Safwan yang dicurigainya selama ini.
“Maafkan Nuha, Kak Ina. Nuha yang silap dalam segala-galanya, Nuha yang tak tahu rancang hidup ini. Nuha pergi dulu. Tolong jaga emak untuk Nuha. Buat sementara ni Nuha tinggal dengan kawan, Kak Ina!” katanya perlahan lalu mengangkat beg pakaiannya. Begitulah juga yang dibawanya keluar dari perumahan elit suaminya tempoh hari.
Kasutnya dipakai dan dia berjalan pantas menuju ke kereta Kenari yang dibelinya dua tahun yang lalu. Kereta Vios yang baru dibelikan oleh suaminya telah dikembalikannya. Pendek kata, dia telah mengembalikan semua barang kepunyaan bekas suaminya ketika hari pertama dia membuat keputusan untuk bercerai.
Dia tidak mahu menyimpan apa-apa kenangan dengan lelaki itu. Walaupun dia tidak mendendami lelaki itu namun dia tahu, telah hadir bibit-bibit cinta kepada lelaki itu, namun demi sebuah maruah diri dia terpaksa menolaknya. Dia tidak mahu dikatakan isteri yang terhegeh-hegeh dengan kasih sayang suami! Ah, dia benar-benar tidak mahu ingat lagi akan lelaki itu!
“Jaga diri baik-baik dik! Sepatutnya adik tinggal dengan mak sementara iddah belum habis. Ini tidak, adik nak juga tinggal dengan kawan. Untuk mengelak fitnah lebih baik adik tinggal di sini dulu dik. Ambil cuti dan tenangkan fikiran.”
Ah, kerana hendak menenangkan fikiranlah dia tinggal dia rumah kawannya. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan keluarganya. Dia bimbang ahli keluarganya akan lebih bersedih lagi dengan apa yang berlaku.
“Tak apa Kak Ina. Nuha boleh ‘handle’ diri Nuha sendiri. Lagipun bukannya apa-apa. Tak ada apa-apa yang berlaku, selama ni pun adik bersendirian kan! Tak siapa pun ganggu! Percayakan lah adik kakak ni!” katanya selepas menyalami tangan kakak sulungnya itu.
Dia terlihat betapa sayunya kakaknya itu. Mungkin dia terasa amat bersalah kerana memperkenalkan dengan lelaki itu. namun, apakah yang mampu dikesalinya selain pasrah dengan kehidupan akan datang.
“Kakak memang bimbangkan adik! Pandai-pandai adik nak tinggal di tempat lain pula! Nanti apa pula yang akan berlaku!” kata kakaknya lagi perlahan. Malu dicakap begitu namun siapalah dirinya ini hendak membantah kata-kata kakaknya itu. Cuma dia sudah mengambil keputusan untuk tinggal berasingan sahaja. Yang lain tetap macam biasa. seketika dia melihat inai di jarinya, masih merah dan belum hilang pun, ketika lelaki itu melafaz cerai. Hatinya yang duka, tidak ada sesiapa yang tahu.  

            “Tak apalah kak, saya pandai jaga diri. Jangan bimbang diri saya.” Kata Nuha Qarina dengan penuh sopan. Dia bergerak pantas menuju ke keretanya. Enjin dihidupkan dia terus meluncurkan keretanya di atas lebuh raya itu. Hidup mesti diteruskan, bisiknya dalam diam.