Thursday, September 13, 2012

Novel Sentuhan Kasih (Bab 3 dan 4)

Ini sambungan novel Sentuhan Kasih iaitu Bab 3 dan 4. Hari ini ada kesempatan aplodkan beberapa bab novel. Harap-harap pembaca tidak bosan menatap setiap ayat-ayat yang saya tuliskan ya. Terima kasih.

Sentuhan Kasih


3


Sejurus selepas menghantar suamiku di muka pintu, Aliff Safwan balik ke rumahnya semula aku cepat–cepat masuk ke bilikku lalu merebahkan tubuhku ke katil kami yang sudah dihias cantik oleh seorang pakar hias terkenal di Kota Kinabalu. Dalam aturcara, esok ada majlis persandingan dan acara memotong kek perkahwinan. Aku benci dengan pernikahan ini. Aku benci dengan semua perancangan yang telah dibuat. Aku masih belum puas hidup sendiri. Namun, silapku sendiri juga kerana mengiyakan permintaan Aliff Safwan. Ah, silapku sendiri yang cepat menerima desakan ibu dan nenek juga kakak iparku Maheran! Nafasku terasa sukar bernafas.
 Aku berkunci seorang diri di dalam bilik. Aku tidak mahu diganggu. Gambar di dalam kaca buram bersama Aliff Safwan kumasukkan ke dalam almari set yang baru dibelikannya khas untuk pernikahan kami. Gambar sewaktu dia menghantar wang hantaran dua bulan lalu itu kulihat semula. Wajahku pucat dan tidak bermaya walaupun aku mengenakan sedikit mekap. Aku benar-benar tidak bersedia untuk hidup di samping Aliff Safwan, lelaki kedua yang hadir dalam hidupku.
 Sedangkan wajah Aliff Safwan tergambar keriangan di sisiku. Meluat aku melihat wajah yang dikatakan tampan itu namun wajah Nizam jauh lebih hebat lagi. Itu sahaja yang aku tahu. Nizam seorang lelaki yang berkulit kuning langsat dan parasnya tampan. Aku lebih mengagumi keindahan wajah bekas kekasihku itu daripada lelaki yang sudah sah menjadi suamiku.
Tidak sepatutnya kusimpan gambarku yang tidak berseri itu di dalam bingkai gambar itu. Namun, itu sahaja gambar yang pernah kami abadikan bersama. Kami tidak pernah berjumpa di mana–mana, kalau adapun dia datang ke tempat kerjaku dan aku membiarkan dia sendirian di bilik  tetamu berjam–jam sementara aku menghabiskan kerjaku. Kemudian dia menghantar aku balik ke rumah selepas kami minum di mana–mana kedai minum. Akhirnya kami hanya menyemarakkan pertengkaran dan dia berlalu dengan senyuman tanpa mampu kumaknakan senyuman itu.
“Awak tak ada kerja lain tiba–tiba datang ke sini, tanpa angin, tanpa ribut! Saya banyak kerjalah! Tolonglah Aliff, jangan ganggu saya! Kerja saya berlambak ni!” bentakku apabila kulihat dia sudah berada berhampiran dengan tempat kerjaku pada suatu hari. Dalam kesibukanku bekerja, sempat aku menyemburnya. Dia masih tidak menyakiti hatiku. Hanya sekali itu hatiku hancur terluka!
“Tak baik Aliya marah–marah abang begini! Bukankah abang jauh–jauh datang ke sini semata–mata nak jumpa Aliya!” katanya memohon simpati. Aku menjuihkan mulutku. Seharian itu mulutku panjang memarahinya. Dia masih rela tersenyum.
“Ye ke? Sapa suruh datang? Ada saya terhegeh–hegeh meminta awak datang sini? Saya boleh jaga diri sendiri, tak perlu susahkan awak, jangan susah saya dah biasa begini! Awak tak perlu susahkan diri awak untuk saya!” kataku mengeraskan suara.
Kebetulan rakan-rakan sekerja yang lain keluar pergi minum. Jadi, mereka tidak tahu akan masalah yang timbul antara kami. Hanya aku dan dia yang tahu apa yang sebenarnya bergolak. Kalau ada rakan-rakan sekerjaku melihat kami, cepat-cepat dia memegang tanganku dan tersenyum mesra. Aku akan menjuihkan bibirku ke arahnya. Meluat dengan tindakannya yang suka berpura-pura itu. Tetapi apabila mereka tidak ada, aku tidak dapat menerima kehadiran lelaki yang bergelar sebagai tunang itu. Walaupun aku sudah sah menjadi tunangnya, namun hati kecilku tetap mengatakan dia tidak layak untuk menjadi pasangan hidupku. Entah mengapa hatiku bersuara begitu. Kadang-kadang aku tersepit oleh keadaan ini.
“Habis, abang telefon Aliya tak angkat. Abang kirim sms, Aliya tak balas! Abang kirimkan e-mel Aliya tak kisah! Macam mana abang nak meluahkan kerinduan abang ni. Jadi, nak tengok wajah gadis kesayangan abang terpaksalah abang pergi ke sekolah ni! Kalau tidak jangan mimpilah abang nak jumpa! Lagipun, bukankah minggu ni kita kena beli cincin untuk hari pernikahan kita!” gemersik kata–katanya di telinga mencuit hatiku. Kupandang wajah yang katanya basah oleh rindunya itu.
Benarkah? Dah nak beli cincin? Bertunang baru sehari dua? Ah, ternyata aku bagaikan menanti seseorang yang tidak pernah muncul lagi dalam hidupku ini. Namun aku masih tidak mahu mengiyakan kata–kata itu. Aku sebenarnya ingin menolak ajakannya itu. Aku merancang ingin berbincang dengan ayah dan emak untuk memutuskan pertunangan kami. Ini kerana, sepanjang pertunangan kami, aku tidak pernah jatuh cinta kepadanya, secuilpun tidak ada. Apa lagi kalau berkahwin nanti, pasti rumah tangga bisa porak-peranda. Aku ingin meminta dia mencari pasangan hidup yang lain. Apakah mampukah aku memutarkan kata di hadapan lelaki keras kepala dan selalu bertekad ini?
“Orang sibuklah, kerja! Kita ni kuli! Lainlah awak tu, bos! Bos besar! Saya ni makan gaji! Kuli! Awak faham! Beli cincin tu awak pergi sendiri!” kataku sengaja lagi memancing kemarahannya. Dia hanya mendiamkan dirinya. Ah, pedulikanlah! Dia masih belum wujud di hatiku ini kenapa aku harus menjaga hatinya. Bisikku sendiri. Dia masih membeku dengan senyuman yang manis.
“Kalau tak mahu kerja, cepatlah kahwin dengan abang. Jadi isteri abang. Duduk di rumah, jaga anak! Nanti boleh jadi pengurus kewangan abang. Abang boleh bagi gaji tiga kali ganda daripada gaji awak di sini! Mahu terima tak? Tawaran ni sah sehingga tengah malam ni je!” katanya perlahan. Aku tidak tergoda dengan tawaran itu. Aku lebih gembira dengan tugasku di sini daripada hidup di sampingnya.
Gemersik kudengar suaranya. Aku menjuihkan bibirku. Tidak kuasa aku hendak melayan kerenahnya itu. benarkah dia sekaya yang selalu kuimpikan? Tetapi, bukankah dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mengerjakan kebun kecilnya di kampung? Kenapa dia berani nak tawarkan aku macam-macam? Soalku sendirian. Pening kepalaku dibuatnya. Entah kenapa aku tidak mahu pula menyibukkan diriku bertanya tentang kerjayanya. Itulah silapnya diriku ini!
Kalau dilihat dari pakaiannya, kalau orang melihat kali pertama tentu menyatakan dia bukan lelaki yang sebarangan. Dia lelaki yang ada status. Tetapi aku tidak pasti. Aku tetap menyangka lelaki itu hanya pengawal keselamatan. Menurut emak, dia tidak mempunyai kerja yang tetap. Kenapa dia berani hendak membayar gajiku lima kali ganda? Soalku lagi. Aku semakin bingung dengan gayanya.
“Kalau dah offer macam tu, tak payahlah kita nak kahwin. Saya kerja sahaja dengan awak, hari-hari kita boleh jumpa! Senang cerita kan?” kataku menyahut. Aku sebenarnya sudah melakukan kesilapan kerana menerima pinangannya. Entah kenapa begitu cepat aku setuju. Emak dan neneklah yang beriya-iya hendak mengahwinkan aku dengan petani moden dan kononnya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di kampungnya  itu. Benarkah dia pengawal keselamatan?
“Eh, mana boleh macam tu! Kita kan sepatutnya nikah dulu barulah halal semua perkara! Taklah susah-susah saya macam ni!” katanya lagi sambil memandang ke dalam wajahku.
“Tak naklah saya kahwin dengan awak! Carilah mana-mana girlfriend yang awak suka! Bukan saya lah! Saya belum sedia nak kahwinlah! Saya belum kemaruk nak kahwin lagi!” kataku agak dingin tetapi suaraku agak perlahan. Fail-fail dan buku-buku berselerak di atas mejaku, kukemaskan.
“Tapi, saya tetap sayangkan awak Aliya biarpun begitu mahalnya harga diri awak tu! Saya tetap akan menunggu hati awak  terbuka untuk saya!” kata Aliff Safwan lagi dengan wajah yang serius. Bergetar hatiku mendengarnya. Kalaulah dia tahu! Gila! Bisikku.
“Saya tak kenal awaklah! Macam mana saya nak kahwin dan suka dengan awak!” kataku perlahan. Kudengar dia ketawa mengekek mendengar kataku. Aku semakin geram terhadapnya.
“Awak mudah lupa kata Dr M. awak memang cepat lupa. Masa awak tingkatan satu kan abang sudah di tingkatan enam atas. Masa tu Aliya budak hingusan lagi! Budak putih melepak di sekolah kita, sapa tak kenal! Satu kelas saya kenal dengan awak! Masa tu lah abang kenal dengan Aliya! Tapi masa tu Aliya dah ada boyfriend! Tu yang abang kecewa sangat!” katanya. Sendu kurasakan. Aku memang tak pernah mengingati wajahnya di mana-mana penjuru di sekolahku suatu waktu dulu. Apa yang terbayang hanya wajah Nizam  yang sering mengganggu aku! Ganjil sekali lelaki di depanku itu. Mengaku yang dia sudah mengenaliku sekian lama. Tetapi, di mana dan bilakah waktu itu? Kenapa aku tidak tahu? Ah, biarlah aku tidak tahu, bisikku pula!
“Saya memang mudah lupalah! Saya memang tak pernah jumpa awak di mana-mana masa sekolah tu! Sudahlah buang masa saya saja! Jangan nak ingatkan saya benda-benda yang dah lapuk tu! Alam persekolahan dah lama berlalu!” kataku perlahan. Aku malas melayaninya.
“Itulah abang ni memang muka tak tahu malu! Nah rasakanlah penangan Nuraliya Maisharah yang cantik ni bila mengomel! Dah tak ingat dengan siapa abang ni! Tapi, abang akan ingat sehingga akhir hayat abang!” begitulah ungkapannya setiap kali aku memarahinya. Aku pula tersengih dengan hati yang puas! Puas kerana membuatkan dia jadi nanar dan serba–salah!
“Ah, betul tak apa yang saya cakap ni! Kalau nak tengok muka saya, awak ambil sahaja saya kerja di syarikat awak tu dan tak payah jadi isteri! Saya takut awak tak dapat bahagia! Sia-sia awak bazirkan wang mengahwini saya!” kataku lagi. Lancar saja mulutku membuka bicara kasar itu. Kulihat air mukanya berubah merah. Aku menjadi serba salah juga dibuatnya. Namun aku tidak peduli. Bagiku Aliff Safwan bukan lelaki pilihanku. Tidak pernah cintaku tumbuh untuknya. Jangan nak mimpi Nuraliya Maisarah akan jatuh cinta kepadanya! Tidak mungkin!
Semua album kenanganku bersama Nizam yang kusimpan kukeluarkan. Baju kebaya bersulam manik yang dihadiahkan oleh Nizam kutelaah, kucium dengan penuh kasih. Gambar kenangan kami berdua semasa dia berkunjung ke rumahnya pada hari raya lebih lima tahun lalu kucium, dengan kasih sekali. Hadiahku yang tidak jadi kuberikan kepadanya juga kukeluarkan. Sulaman Crosstich yang berukir namanya, menyentuh hatiku. Baju Melayu berwarna putih yang kubelikan untuknya sewaktu hari pernikahannya tidak berani kuserahkan, hatiku punah namun kasihku terhadapnya tidak pernah pudar. Nizam terlalu kukasihi setulus cintaku sekujur hatiku ini. Khairul Nizam adalah cinta pertamaku. Segala kenangan yang masih kusimpan kucium, kupeluk dengan penuh kasih cinta. Entah dari mana kekuatanku menyintainya sepenuh hayatku ini walaupun dia telah dimiliki. Padaku, kasihku kepada Khairul Nizam terlalu luhur. Dia tidak akan tahu perasaanku ini. Segalanya kupendam sendiri.
‘Cincin? Ya di mana cincin perkenalan kami dulu?’ soal dalam hati. Cincin berlian dan cincin belah rotan di tanganku, kupandang ganjil. Ya, cincin yang pernah diberikan Nizam. Ya, cincin berpermata biru itu juga harus  dikeluarkan.
“Nizam, selepas ini aku tidak akan menyimpan segala–gala barang yang selama ini menjadi teman hidupku. Selepas ini aku berjanji hanya akan mengenangmu hanya dalam hatiku tetapi janjiku kepada diriku, inilah kali terakhir aku menatap semuanya. Maafkanlah aku, ketika kau menyatakan cintamu kepadaku, aku tidak mampu membalas, namun hatiku tetap padamu! Selepas ini Aliff Safwan yang akan berkongsi denganku di dalam kamar tidurku ini namun kau tetap masih istimewa di kamar hatiku ini, percayalah!” kataku dalam suara yang paling sayu dan bersalah.
Nizam bagaikan berada di depanku. Berdiri dengan penuh kepedihan. Dia bagaikan ingin bersuara, tetapi kami sama–sama sebak dan aku terus menangis tanpa malu. Dalam suasana begitu aku masih takut Nizam masih menyalahkan aku kerana tidak memberikan jawapan kepada lamarannya dulu.
Air mataku mengalir tanpa kupinta apatah lagi apabila aku sudah dimiliki oleh laki–laki lain kini.  Aku semakin sedih dengan apa yang berlaku. Kenangan berkasih dengannya terlalu luhur kurasakan. Tidak ada lagi kenangan selepas itu yang  terindah  dalam hidupku selain daripada kenangan bersama Nizam. Dia bagaikan masih berteleku di depanku.
Seketika wajah Aliff Safwan melintas di depan mataku. Aku menekupkan wajahku. Antara kami tidak ada percintaan yang bakal dikenang hanya perkenalan biasa lalu aku dinikahi dalam keadaan aku belum rela menerimanya. Ah, silapku juga kerana terus bersetuju dengan permintaannya.
“Aliya, mari makan nak. Nasi dah sejuk di dapur tu! Lagipun tak baik buat macam ni. Ramai saudara mara kita di luar tu. Buruk kalau tunjukkan muka yang sedih tu! Malam ni ada acara lagi. Tak baik buat hal macam ni!” tiba-tiba kudengar ketukan dan suara emak di pintu bilikku. Terbang segala kenangan yang hinggap di mindaku. Ketukan emak masih bertalu di pintu bilikku. Cepat-cepat kuseka air mata yang mengalir deras bagaikan air di gunung yang turun selepas hujan. Rupanya hari sudah gelap dan aku belum keluar-keluar dari bilikku selepas majlis pernikahan kira-kira tiga jam tadi. Aku bingkas bangun dan bergerak kea rah cermin di sisi katilku. Emak masih memerhatikan aku. Apakah emak memahamiku?
“Maafkan Aliya mak. Aliya tertidur tadi. Aliya bukannya sedih tapi Aliya kepenatan. Maafkan Aliya mak!” Kataku di muka pintu. Tubuh kurus emak kupeluk erat. Wajah bimbang emak terpacul di luar pintu.
“Sejak tadi mak ketuk. Kak Maheran kau pun susah hati tengok keadaan Aliya. Aliya nangis ya?” soal emak. Aku menggelengkan kepalaku. Mataku terasa sebu.
“Kalau tak menangis kenapa mata anak mak ni merah? Aliff ada telefon ya?” aku tidak dapat menjawab soalan itu. Wajah emak yang muram kutatap. Aku tidak mahu menambah beban di hati emak. Jadi, aku tidak sewajarnya memberitahu apa yang tersirat di hatiku ini. Tidak sekali-kali! Hakikatnya aku baru sahaja lepas menangis. Sedih, benci dan geram bercampur-baur di hatiku ini!
“Entah mak. Telefon Aliya di beg. Tak dengar bunyi pun! Entah siapa yang telefon, Aliya tak perasan pun!” kataku kepada emak. Cepat-cepat aku menundukkan pandanganku. Wajah Khairul Nizam berbalam-balam di dalam pandanganku. Sedihnya hatiku hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Eh, kenapa simpan telefon dalam beg? Mana tau Aliff nak telefon, takkah susah dia! Mana tahu dia nak beritahu Aliya yang dia nak cakap sesuatu, mana kita tahu! Layan dia baik-baik nak. Jangan sampai dia kecik hati, susah pula kita,” kata emak. Terjegil mataku mendengar ungakapan emak yang terakhir itu. Uh, silapku juga yang memberikan jawapan tanpa berfikir.
“Bukan… bukan macam tu mak! Tadi, aliff dah telefon. Dia baru je sampai di rumahnya. Baru-baru ni tak ada pula dia telefon. Mungkin dia pun sibuk di rumahnya.” Dalihku. Emak menatap mataku sepuasnya. Aku cuba bertenang.
“Entah-entah Aliya masih ingatkan kekasih lama tak? Aliya, sudah-sudahlah mengenang kisah lama tu! Tak berbaloi! Lebih baik Aliya tumpukan kehidupan baru sekarang ni. Layan suami tu sebaik-baiknya. Berkat kalau begitu. Jangan buat perkara tak senonoh di depan suami mahupun di belakangnya. Ingat ya!” Kata emak dengan panjang lebar. Fikiranku semakin rancu dengan nasihatnya. Sudah berkali-kali emak menegaskan hal itu. Mana mungkin aku dapat melupakan Nizam walaupun dia yang telah membuang aku dari hidupnya. Aku diam tidak berkutik.
“Ha, tukarlah baju tu. Mak andampun dah datang tu. Aliya mandi dulu dan kita makan sama-sama ya. Majlis berinai akan diadakan kira-kira sejam dari sekarang.” kata emak. Aku hanya mampu mengangguk.
            “Ya lah mak.” Kataku perlahan. Pakaian pernikahanku masih tersarung di tubuhku. Perlahan-lahan aku harus menerima hakikat yang Aliff Safwan sudah menjadi suamiku walaupun antara kami sudah termaktub sebuah perjanjian yang ditandatangani dua minggu sebelum pernikahan kami. Huh! Tanpa perjanjian itu belum tahu lagi aku akan sudi menerima dia sebagai suamiku. Dalam diam aku tersenyum. Senyuman puas!
            “Kenapa Aliya senyum-senyum tu?” soal emak. Aku tidak tahu yang emak masih memerhatikan aku rupanya. Tiba-tiba senyumku sudah mati. Kalaulah emak tahu, habislah aku!
            “Tak ada apa-apalah mak! Saya hanya nak menukar baju Aliya ni mak. Sejak pagi lagi macam ni! Rimas pula!” kataku menutup kesilapan diri. Baju kebaya moden berwarna putih itu kutatap seketika. Benarkah aku cantik dengan baju ini? Aliff Safwan memuji aku tadi. Kalau lah yang memuji itu adalah Nizam, bukankah hatiku akan kembang kencup dibuatnya!
            “Kenapa ni, macam tak gembira saja nak kahwin. Aliya masih mengenang Nizam ya? Sudah-sudahlah tu nak! Jangan nak dikenang-kenang kisah  yang sudah lapuk tu. Tak ada gunanya. Nizam tu dah kahwin. Kalau orang normal dah dua atau tiga anaknya, nak! Sudahlah tu nak, binalah impian dengan suami kamu tu. Jangan ikutkan perasaan tu!” kata emak seperti memahami apa yang tersirat di hatiku.
Wajah nenek pula yang terbayang di ruang mataku. Kerana wanita tua itulah yang menyebabkan aku menikahi lelaki itu. Emak dan ayah pula hanya menyokong cadangan nenek. Aku benci!
 Aduh! Memang segalanya sukar dijangka. Haruskah aku pasrah!

4

Sewaktu persiapan majlis persandingan kami pada keesokan harinya, aku tertunggu agak lama. Kurasa bedakku yang agak tebal itu berasa hendak gugur dan mencair. Bulu mata palsuku terasa memberat di kelopak mataku. Ingin sahaja aku membuka segala-galanya. Namun, mak andam yang setia mengandam tetap membetulkan bahagian baju dan mekapku. Aku menjadi tertekan dengan sikap mak andam yang tidak pernah berganjak dari sisiku. Walaupun tanpa cinta tetapi aku tetap berdebar menanti kedatangannya untuk duduk di atas kerusi pengantin yang telah di hias cantik ini. Hampir dua jam berlalu, rombongan pengantin lelaki belum datang lagi. Aku kerisauan sendiri. Dari arah bilik, aku diberitahu ada panggilan untukku, dalam waktu–waktu begini tentulah Aliff Safwan yang telah memanggil nombor peribadiku.
“Aliya, kalau nak jadi raja sehari ni, muka tu kena manis selalu. Jangan masam-masam. Nanti muka tu hilang seri dan cantiknya! Orang lelaki ni suka kalau tengok isterinya selalu senyum dan nampak cantik!” kata mak andam pula. Aku tersentak dengan pesanan itu. Apakah dia perasan yang wajahku selalu masam apatah lagi menghadap wajahnya yang sedang menyolek aku? Soalku sendiri.
“Aliya bukan nak marah kak tapi Aliya rasa rimas. Bulu mata ni berat sangat! Aliya tak suka!” Jawabku perlahan. Mak andam ketawa mendengar jawapanku. Mungkin dia tahu apa yang bersarang di hatiku ini.
“Muka awak tu cantik sayang. Jangan selalu muram. Nanti hilang seri pula! jangan cik abang lari sudahlah!” kata mak andam lagi. Dia mengekek sendirian. Aku sudah malas hendak berdalih. Biarkan dia dengan tekaannya terhadap hatiku yang sangat membenci akan perkahwinanku ini.
“Hello, siapa yang bercakap tu? Aliya?” lain benar suara yang kudengar di corong telefon itu. Namun aku segera mengiyakan pertanyaannya.
“Alia, ni ada berita yang tak berapa baik tapi harap Alia tak terkejut ya. Oh ya, yang bercakap ni pak cik Aliff, Pak cik Sulaiman. Pak cik harap Alia bertenang ya. Aliff  sekarang berada di hospital kerana keretanya terbabas ke longkang, di Jalan Nukahan ni, jadi, Aliff  dan beberapa yang lain cedera. Tapi jangan risau semuanya selamat.” Kata suara yang mengaku Pak cik Sulaiman. Aku tidak sempat bertanya apa–apa lantaran keterkejutan itu. Berderau darahku mendengarnya. Inikah balasannya apabila seorang isteri yang tidak reda dengan kehadiran seorang suami bernama Aliff Safwan, bisikku sendiri.
Aku mengkhabarkan kepada sanak saudara. Dalam keadaanku yang belum terurus sepenuhnya aku memandu menuju ke hospital di mana Aliff Safwan dimasukkan. Fikiranku sesak turut terjejas memikirkan suamiku yang sedang berada di hospital.
“Mari cepat Aliya, kita pergi ke hospital.” Kata ayahku bergegas menghidupkan enjin kereta. Suasana di halaman perkahwinan itu sudah menjadi kelam–kabut. Semua tetamu yang datang menjadi risau dengan apa yang berlaku. Air mataku tiba–tiba mengalir bagai air terjun yang meluncur laju. Selama ini aku tidak pernah mempedulikan sama ada Aliff Safwan ada di sisiku atau tidak, tetapi pada hari persandingan ini persepsiku mengenai laki–laki berkulit hitam manis itu sudah berubah. Entah kerana apa, aku kurang mengerti. Apa yang pasti aku tidak mahu Aliff Safwan pergi meninggalkan aku untuk selamanya. Aku tidak rela mendung lara menujah diriku hanya kerana aku tidak pernah menyintai laki–laki itu.
Ampunilah dosaku Ya Allah, aku berjanji akan menjadi isterinya yang paling baik untuk laki–laki sebaik Aliff Safwan yang jasadnya terlantar di katil putih itu.
“Aliya! Aliya! Bangun dik! Awak ni dah angau agaknya! Angau kan Aliff Safwan! Aliff tu tentu sangat sayangkan adik.” Sempat kak Maheran mengusik aku. Tubuhku berpeluh-peluh. Mataku membuntang apabila melihat kak Maheran sudah berada di depanku. Dengan pakaian pengantinku, rupanya aku sudah mengigau. Aku termalu sendiri dengan tindakanku sendiri.
“Kak, apa yang berlaku sebenarnya? Betulkah Aliff kemalangan jalanraya?” soalku yang sudah duduk dalam kecemasan.
“Hiss, kan malam lagi ni. Abang Aliff belum datang lagi ni. Awak ni mengigau ni Aliya! Tengok inai di tangan awak tu dik, habis berhamburan di lantai! Tentu mak andam marah kalau nampak sikap awak yang kebudak-budakan! Tak lama lagi nak jadi mak budak pula!” kata Kak Maheran mengusik aku. Aku kemalu-maluan. Nasib baik mukaku yang bertempek dengan bedak kalau tidak tentu mukaku yang kemerahan akan kelihatan.
Ah, aku akan pastikan yang aku tidak akan menjadi emak budak dalam jangka waktu yang terdekat ini. Berbagai-bagai cita-cita sudah tertanam di dalam diriku ini, kenapa aku menimang anak pula? Aku termalu sendiri kerana aku telah tertidur awal rupanya. Mungkin kerana aku kepenatan dan benci mengenang Aliff Safwan yang selalu mempermainkan aku.
“Saya…saya mimpikan Aliff je kak! Saya bukan mimpi yang bukan-bukan kak.” kataku perlahan. Malu bukan main lagi dengan sikapku sendiri. Kakak iparku masih tersenyum dengan penuh kehairanan dengan jawapanku. Mungkinkah dia mahu aku mengeyakan sangkaannya itu? Bisikku perlahan.
            “Jangan berfikir yang bukan-bukan. Sepatutnya Aliya doakan suami Aliya tu agar sentiasa selamat! Itulah tugas isteri yang solehah!” kata Kak Maheran menasihati. Wajah hitam manis itu kupandang. Dia tersenyum. Aku terkesima. Wajahku masih berpeluh-peluh.
            “Bukan macam tu kak! Mungkin Aliya hanya bermimpi!” kataku memberi alasan. Itulah akibatnya kalau asyik terkenangkan kekasih lama.
            “Sudahlah Aliya. Nenek sudah menunggu di luar. Dia sedia nak mandikan Aliya dengan air bunga tujuh warna, katanya biar naik seri wajah pengantin esok!” kata Kak Maheran lagi. Dia sudah duduk di birai katilku yang berhias indah. Aku memilih warna ungu muda. Sesuai dengan hatiku yang masih dibaluti kekecewaan. Entah bilakan ia sembuh.
            “Oh ya Aliya lupa pula. nenek sudah lama tunggu agaknya. Maafkan ALiya. Aliya tak sengaja, tertidur pula.” kataku lalu bangkit. Kak Maheran tersengih melihat gayaku. Mungkin dia teringat aksi kami petang tadi. Aduh, aku malas memikirkan Aliff Safwan.
            “Dah lama nenek sampai, sejak majlis nikah tadi kan. Dia memang tunggu Aliya. Tapi Aliya tengah tidur, jadi dia tak nak ganggu.” Kata Kak Maheran lagi.
            Dengan langkah yang panjang aku keluar mendapatkan nenek yang sedang duduk memerhatikan seorang tukang urut menggubah bunga. Nenek tersenyum melihat aku.
            “Maafkan Aliya kerana terlambat nek. Tertidur pula tadi. Tak sedar hari dah malam.” Kataku yang sudah duduk di sisi nenek. Nenek memandang aku tajam. Aku buat-buat selamba sahaja walaupun telah terbukti diriku salah.
            “Tak apalah, Liya. Nenek memang faham. Tentu Liya penat kan. Terima suami, persediaan lagi. Macam-macam benda nak buatkan! Tulah lupa!” kata nenek seperti mempersendakan aku. Aku tersengih-sengih macam kerang busuk.
            “Nenek harap Aliya akan melayani Aliff dengan baik nanti. Jangan selalu bentak-bentak suami, tak elok! Suami tu umpama raja!” Kata nenek lagi. Aku hanya mampu tersenyum dan mengangguk. Namun dalam hatiku Tuhan sahaja yang tahu.
            “Sekarang ni Aliya baca selawat 44 kali. Lepas tu baca al fatihah, baca tiga qul dan ayat kursi. Lepas tu Aliya minum air ni, baik untuk menaikkan seri wajah. Lepas tu baru nenek jirus air bunga ni!” kata nenek sambil membaca sesuatu lantas meniup ke atas air berwarna kecoklatan yang berada di dalam gelas jernih itu.
            “Eh, air apalah tu nek! Aliya tak boleh nak minum lah nek! Rasanya hanyir kalah air telaga!” kataku lagi. Marak mata nenek memandang aku.
“Jangan banyak alasan lagi. Minum air tu! Tiga tegukpun jadilah! Nanti suami Aliya tengok Aliya, sejuk hatinya! Air tu penambah seri di wajah pengantin!” kata nenek lagi. Aku lantas menutup hidung dan mula meneguk air berwarna kecoklatan itu. Uh, nasib baik nenek yang suruh! Kalau bukan nenek, tentu sudah kubuang air itu ke dalam pasu-pasu bunga emak yang banyak! Nenek tersenyum puas seusai aku meminum air di dalam gelas berwarna tanah itu.
            “Jangan degil Aliya! Mak tak suka Aliya masih nak tunjukkan degil macam tu! Minum air tu!” kata emak lagi. Aku berasa hendak muntah apabila menghabiskan air tersebut. His, emak dan nenek selalu meminta sesuatu yang tidak mampu aku tunaikan!
            “His, air apa tu nek? Hanyir betul! Tak tahan betul!” kataku kepada nenek. Emak sudah tersenyum melihat aku menghabiskan air yang hanyir berwarna coklat itu.
            “Ha macam tu lah Aliya! Air tu air akar kayu, tujuh jenis akar kayu. Nenek cari di hutan tu sempena perkahwinan Aliya!” kata nenek dengan senyum simpulnya.
            “Ada-ada ajelah nenek ni!” kataku sambil meletakkan semula gelas tersebut di atas talam.
            “Nenek cakap yang betul nak. Nanti kalau dah sama-sama dengan suami tentu bahagia!” kata nenek lagi. Aku terkesima.
            “Jangan banyak tanya lagi Aliya. Selepas berkhatam dan menepung tawar, Aliya akan berbedak dan berinai semalaman nanti. Jangan berkunci di bilik tu. Ramai sepupu dan saudara mara yang hendak datang melihat Aliya malam ni. Tak manis kalau Aliya hanya berkurung seorang diri di bilik!” kata emak berpesan. Dia sudah tahu kelakuanku yang kadang-kadang agak pelik. Aku hanya menundukkan pandangan sambil mengangguk.
            “Nenek dah sediakan inainya, tentu merah di tangan Aliya nanti. Suami tentu gembira!” kata nenek lagi. Perasaanku semakin bimbang dengan kata-kata emak dan nenekku.