Thursday, September 13, 2012

Novel: Sentuhan Kasih


Inilah novel terbaru saya untuk tahun 2012 ini. Rasanya sudah terlambat tetapi mungkin belum terlewat. Semoga anda boleh membacanya dengan penuh enjoy dan gembira. Best you!



Novel
Tajuk: Sentuhan Kasih

1

            Majlis  pernikahan ini terlalu cepat berlaku. Bagai baru semalam aku dilamar, keluarganya datang meminang dan seterusnya majlis menghantar wang hantaran dua bulan yang lalu. Setelah sekali lafaz, aku sudah sah menjadi isteri kepada laki–laki yang bernama Aliff Safwan. Bagaikan mimpi sekali lagi aku terpana menerima lafaz ijab kabul laki–laki itu. Tenang dan meyakinkan. Walaupun aku telah mengenalinya lebih lima tahun lalu namun tidak terdetik pun kami akan bernikah. Tidak pernah aku bermimpi akan menjadi isterinya. Jatuh cinta jauh sekali.
Mungkin perkahwinan ini satu kesilapan baginya dan dia akan tahu apabila dia telah menikahiku kelak. Apatah lagi setelah hidup berumahtangga denganku.   Desisku sendiri seperti menyimpan bara dendam dan kebencian. Apatah lagi apabila memandang wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman itu! Eh, tak ingin aku!
            Majlis pernikahan itu terlalu sempurna kurasakan. Tidak ada cacat celanya. Majlis diatur dengan begitu berjaya sekali. Malah, orang ramai berjaya dikaburi walaupun air mataku tidak pernah surut alirannya. Saudara mara dari dekat dan jauh datang menghadiri undangan perkahwinanku semata–mata hendak menyaksikan aku menjadi raja sehari, anak sulung perempuan kesayangan ayah! Kata mereka antara aku dan Aliff Safwan bagaikan pinang dibelah dua, bagai sirih pulang ke gagang! Sekali hatiku berasa jengkel dan menidakkan peribahasa itu. Malah, air mataku menitis mendengar ungkapan itu! Aku  terasa betapa diriku ini hanyalah tunggul hidup yang menumpangkan pasangan di sisi lelaki itu. Begitu jauh hatiku di hatinya kurasakan.
Tidak ada cacat celanya Aliff Safwan namun hatiku ini tidak dapat kujelaskan sama sekali. Orangnya matang dan berkeyakinan. Dia segak, kulitnya sawo matang, hidungnya mancung  dan matanya kuyu boleh menawan sesiapa yang memandangnya. Aku sewajarnya sudah jatuh cinta kepadanya. Namun, entah kuasa Tuhan tidak ada yang dapat menduga. Sekian lama kami bertemu, tidak pernah ada perasaan khusus itu hadir dalam diriku. Malah, pelbagai rasa yang menyakitkan. Menerima seorang laki–laki yang tidak kucintai menjadi suami yang sah seumur hidupku ini.
Mampukah aku bertahan menjadi isterinya yang kekal untuk selamanya? Bukankah selama ini pergaduhan menjadi rempah perhubungan kami. Bagaimanakah hubungan suami isteri ini kelak akan mencapai tingkat keserasian yang maksimum seperti yang diharapkan? Mampukah Aliff Safwan bersabar dengan sikapku yang kasar dan pemarah? Aku boleh sahaja tiba-tiba menjadi pengamuk kalau ada perkara yang tidak kusenangi berlaku. Aduh, alangkah menyakitkan apabila aku memikirkan segalanya?
Bukankah dia lelaki yang tidak dapat kupercayai itu? Bukankah sehari selepas dia melamar aku, dia berjumpa dengan gadis lain dan dibawanya berjalan–jalan ke Kota Kinabalu dengan kekasihnya itu? Kekasih gelapnya kah itu? Aku melihatnya dengan mataku sendiri. Cemburukah aku? Akan setiakah dia di sampingku seumur hidupnya selepas melafazkan akad nikah sebentar ini? Akan bahagiakah aku di sisinya selepas ini? Bukankah dia telah menunjukkan belangnya ketika aku baru dilamarnya? Ah, aku juga belum jatuh cinta kepadanya, kenapa aku bersetuju mengahwininya? Aku bukan milik sebenarnya, kenapa aku hendak kisah tentang kelakuannya di luar sana? Soal hatiku.
Hancur hatiku, tidak sekelumitpun tertinggal untuknya. Tetapi untuk apa aku mencemburui semuanya kalau benar aku tidak mencintainya? Dari sudut lain hatiku berbicara, sendu dan gemas merburu diri ini. Sukar kutafsirkan dinginnya hatiku ini. Bukankah bekas kekasihku juga telah meninggalkan hanya kerana aku tidak dapat menghadiri temujanji kami lewat lima tahun lalu, lalu dia mengahwini gadis lain. Hanya kerana kegagalanku menemuinya hari itu! Inikah pula Aliff Safwan yang terang–terang tidak pernah kucintai! Apakah Aliff Safwan sama sepertiku menikahiku tanpa rasa cinta? Ah, alangkah tragisnya hidupku ini kini!
Namun  sehingga ke hari pernikahan kami ini aku tetap bersabar, bersabar dengan kerenahnya. Dia lelaki yang ceria sedangkan aku adalah gadis yang terlupa tentang warna ceria itu. Duniaku penuh dengan kesugulan dan tangisan. Duniaku tanpa kegembiraan semenjak Khairul Nizam sudah meninggalkan aku. Aku tidak pernah menanyakan apa–apa mengenai hal itu. Bagiku ia belum menjadi urusanku selagi kami belum bersatu sebagai suami isteri. Aku tidak ada waktu untuk berasa cemburu di atas sikapnya itu.
Tetapi hari ini dia sudah menjadi suami, suami kepada Nuraliya Maisharah yang selama ini berjanji tidak akan mengakhiri zaman bujang selagi masih ada sisa–sisa kasih untuk Khairul Nizam, kekasih pertamaku. Ah, Nizam sudah lama mencapai detik kebahagiaan saat cinta pertamaku diragut dengan perkahwinannya yang gilang–gemilang di sebuah hotel lima bintang di bandaraya. Kasihan aku! Akhirnya aku sendiri yang merana lantaran sikapku sendiri.
Itulah Nuraliya Maisharah yang telah terlewat menawan hati Nizam! Sesaat tersilap akhirnya aku tersilap hingga ke akhirnya. Desis hatiku merintih  sendiri. Namun aku tetap puas hati dengan apa yang berlaku, puas kerana telah menyintainya sepenuh hati walaupun dia telah beristeri. Ah, entahlah, di manakah kemegahan seorang gadis yang kini telah menjadi isteri kepada seorang laki–laki yang belum tuntas kucintai!
Ah, kenapa pula mulutku ini terlalu celupar untuk menerima lamarannya tempohari, aduh! Bukankah aku mempunyai pilihan untuk menolak? Ah, menangkah aku kini? Benarkah aku menang, atau sebenarnya aku yang telah tertewas dalam teka-teki yang baru bermula ini kini? Senyuman Aliff Safwan hanya kulihat sebagai kepura–puraan yang berlapikkan wajah tampannya! Sah, kini Nuraliya Maisharah telah pun tertewas! Tewas sebelum mencuba! Tewas oleh kemegahan sendiri! Kalaulah aku berfikir panjang tempoh hari, barangkali hari ini aku tidak sakit kepala memikirkan Aliff Safwan yang sentiasa meminta perhatianku! Huh, alangkah menyakitkan memikirkan lelaki itu!
Ah, inilah padahnya menerima pandangan emak dan kakak iparku yang ingin benar melihat aku berkahwin. Malah, desakan nenek menyenakkan perasaanku. Aku hanya memperjudikan kehidupanku bersama Aliff Safwan, ya aku sedang berjudi apabila aku melihat antara kami tidak akan ada titik keserasian. Dia akan ke hulu dan aku akan ke hilir. Tambahan pula aku bekerja jauh di bandaraya sedangkan dia masih mengerjakan perniagaannya nun di lembah pedalaman! Aku masih mempertahankan kerjayaku setelah berkahwin dan dia berkeras hendak melihat aku menjadi suri dalam rumahnya! Eh, aku takut akan terkurung selama–lamanya di dalam kaca buram binaannya di kampung sana! Biasakah aku lagi tinggal di kampung kelak? Bukankah sudah bertahun ini aku tinggal di bandaraya dan bekerja di sini! Aku benar–benar berada di titik genting itu, hakikatnya tidak dapat kusangkal lagi.
Ah, sah, ya sah aku telah menjadi isteri laki–laki yang diidamkan oleh ahli keluargaku itu. Entah kenapa lelaki ini boleh menawan hati keluargaku dengan sebegitu cepat  terutamanya nenek. Aku kurang pasti. Kebahagiaankah yang akan kuperolehi dalam perjudianku ini kelak? Saat ini aku kelinglungan dengan persoalan yang tidak dapat kujawab!
            Aku semakin hilang akal apabila dia dan keluarganya mempercepatkan majlis pernikahan dengan alasan kami berjauhan. Keluarga kami bimbang kalau-kalau antara kami akan mengubah haluan hidup. Dia di kampung dengan perniagaannya dan aku di bandar dengan tugasku. Tapi Bandar tempat aku bekerja bukannya jauh sangat dengan kampong tempatnya menguruskan perniagaan. Mungkin semua itu hanya alasan, alas an yang tidak kuat untuk mengikat aku!
Takut ada sesuatu yang berlaku kepadaku. Ah, aku pandai menjaga diriku, balasku dalam sistem pesanan ringkas yang dihantarnya. Bisikku setiap kali dia menyuarakan hendak mempercepatkan majlis pernikahan kami. Dia benar–benar menimbulkan onar kepadaku.

***
“Aliya, abang dah cakap dengan ayah Aliya, kita akan kahwin bulan depan! Lagipun nenek Aliya juga meminta majlis perkahwinan kita dipercepatkan!” aku mengeraskan diriku di tempat duduk di sebelahnya.
            “What ever!”
            “Kasihan nenek kau tu dah tua! Kalau dia tiba-tiba…”
            “Sudah! Jangan banyak cakap!” aku memotong cakapnya. Aku malas mahu berlawan cakap dengan lelaki itu. Lelaki itu banyak memporak-perandakan hidup aku selama beberapa bulan ini!
Tidak mampu memberikan reaksi yang tidak sewajarnya. Perlahan tanganku yang kedinginan ditangkapnya. Aku menarik perlahan tanganku namun pautan tangan lelakinya terlalu kuat untuk kulepaskan. Tanganku dielusnya perlahan. Meremang bulu romaku dengan tindakannya.  Perlahan aku menarik tanganku walaupun kekuatanku tidak cukup untuk menangani kuasa lelakinya.
            “Aliya, dengar tak cakap abang ni? Kenapa tangan Aliya sejuk, takut ya nak kahwin dengan abang?” aku masih terkejang kaku di dalam kereta yang disimbahi dengan hawa dingin ini.
Tanganku masih berada di dalam genggamannya. Resah aku, tanpa jalinan perasaan yang sama bagaimana kelak aku belajar menyayangi laki–laki yang masih kuragui sikapnya ini? Aku menjuihkan bibirku. Meluat dengan kata-katanya. Aku tidak percaya yang dia akan mempercepatkan perkahwinan kami memandangkan kami baru beberapa bulan bertunang.
            “Kenapa, tak sedia kahwin dengan abang?” soalnya perlahan. Pegangannya di atas belakang tanganku dilepaskan. Aku mengangguk.
            “Aliya tak sedia lagi nak kahwin Aliff. Kalau Aliff nak sangat kahwin, carilah perempuan lain, saya belum sedia. Lagipun saya masih nak menyambung pelajaran saya, maklumlah saya …saya…belum cukup ilmu!  Lainlah Aliff, dah cukup semuanya. Tolonglah, tolong lah berikan Aliya sedikit waktu lagi untuk memikirkan untuk memikirkan benda ni Aliff!” aku bersuara lirih cuba merayu untuk ke sekian kalinya namun dia menggelengkan kepalanya.
            “Boleh…Aliya boleh terus belajar dan bekerja kalau kita sudah kahwin! Abang pun tak main–main soal kahwin! Abang memang dah sedia nak kahwin dengan Aliya. Bersedia dari segi zahir dan batin! Selepas kita kahwin, Aliya tetap boleh belajar dan bekerja, abang izinkan! Kecuali kalau Aliya nak berhenti belajar dan bekerja, bolehlah duduk di rumah dan jaga anak-anak kita yang bakal lahir nanti,” kalut, kalut. Lain yang kucakap lain yang dijawabnya.
Bulat mataku melihat wajahnya. Baru hendak bernikah sudah memikirkan mengenai zuriatnya. Malah, aku belum habis belajar lagi ketika ini. Secara diam-diam aku mengambil kursus Program Jarak jauh di sebuah university tempatan. Huh, dia belum tahu siapa Aliya!
Senyumannya terpacak di bibir dan sepasang matanya sukar digambarkan. Bagai nak pecah telingaku mendengar ungkapan terakhirnya. Tidak pernah terfikir di hatiku hendak melahirkan zuriat untuknya dalam waktu yang terdekat ini. Tidak pernah aku terfikir.
Senyuman yang kukuh manis itu masih melekat di bibirnya. Aku terketar dengan kata–katanya. Malah, kata-katanya menggambarkan keyakinan dirinya. Itulah yang sangat-sangat menakutkan aku. Lelaki di sisiku ini memang penuh karisma, aku tidak menafikannya. Patutlah nenek memadankan aku dengannya. Nenek tahu cucunya yang seorang ini cukup degil.
“Awak jangan nak mengada-ada! Saya belum siap nak menjadi isteri awak apatah lagi nak melahirkan anak-anak awak! Saya tak akan mahu!” kataku mengeraskan sedikit suaraku. Dia ketawa lagi. Ketawa yang dibuat-buat! Aku jadi meluat dibuatnya.
“Apa gunanya pernikahan kita nanti? Bukankah hendak menghalalkan yang haram dan meramaikan zuriat?” Yerk! Kulihat anak matanya yang bercahaya. Wajahku yang sudah berubah kelat. Persoalan yang dikemukakan begitu mencabar kemahuanku. Uh! Kenapa aku dijodohkan dengan lelaki ini! Aku semakin meluat dengan kata-katanya.
“Saya tak mahu kahwin dengan awak kalau hanya itu tujuan awak berkahwin dengan saya! Tak mahu!” suaraku terlahir kasar. Wajahku masam. Aku tidak mahu mempedulikan perasaan lelaki itu mendengar kata-kata penolakanku terhadapnya.
Aku tiba–tiba naik angin. Mendengar kata-katanya aku menjadi lebih mengamuk. Aku selalu naik angin apabila dia memberitahu aku mengenai tarikh pernikahan kami. Malah, dia bagaikan memaksa. Wajahku masam. Senyuman yang terukir di wajah laki–laki putih kuning itu tidak dapat menjelaskan hatiku yang masih kabur terhadapnya. Bercinta tiada, tiba–tiba dia menjadikan aku pilihannya untuk dijadikan pasangannya yang sah. Nenek pula memang sudah lama berkenan dengannya.
Selama ini kami sering bertemu di mana–mana namun hanya perselisihan sahaja yang mengakhiri setiap pertemuan kami. Aku tidak pernah terfikir yang aku akan menjadi pilihannya yang terakhir walhal mengahwini Aliff Safwan pemuda kampung itu adalah perkara yang terakhir yang menjadi pilihanku selepas aku masih tidak dapat melupakan Nizam, kekasih pertama yang meninggalkan aku dengan mengahwini gadis lain. Nenekku dan keluargaku pula mengambil kesempatan di atas kekecewaanku di atas pernikahan Nizam dengan gadis lain.
Namun aku tidak pernah kesal. Kenangan bersama Khairul Nizam itu masih kukuh bertakhta dalam ingatan ini. Cinta pertama itu terlalu mengikat!
“Tolonglah Aliff! Dulu bukankah Aliff  hanya nak tunang sahaja bukan nikah! Kita cari keserasian dulu! Aliya terus terang Aliya tidak pernah mencintai Aliff! Terus-terang saya katakan, saya memang tidak menyukai awak! Saya…saya…tak boleh nak terima awak! Saya meluat dengan sikap awak tu!” tanpa silu aku berterus terang kepada laki–laki itu. Aku tidak peduli. Aliff Safwan ketawa hambar dengan pengakuanku. Wajahnya tidak pun berubah. Lelaki itu bagaikan kehilangan perasaan dengan apa juga perkataan yang kuluahkan kepadanya. Aku bertambah geram pula dengan sikapnya.
            “Tapi, ayah Aliya dah setuju! Semalam abang dah jumpa ayah Aliya di kampung! Sengaja abang tak beritahu Aliya!” jawabnya muktamad. Aku terdiam. Dia sengaja menyuburkan sumbu pergaduhan.
            “Kalau ayah sudah setuju, buat apa Aliff nak tanya Aliya mengenai hal ini! Keputusan di tangan dia, saya hanya menurut! Tak ada gunanya Aliff  nak tanya saya lagi kalau keputusan sudah di tangan kamu! Huh, tak guna betul!” kataku mendengus kasar.
Emak juga telah memaklumkan aku seminggu yang lalu. Aku pula sengaja cari fasal dengan lelaki itu. Aku tidak peduli siapa laki–laki di hadapanku ketika itu. Namun apa yang kutahu, hatiku telah hancur ketika ini. Hancur sehancur–hancurnya apabila ahli keluarga dan Aliff  Safwan sendiri bagaikan menidakkan kehadiranku. Kata-kataku tidak dipakai dalam hal ini.
            “Percayalah, abang hanya mencintai Aliya seorang. Aliya belajarlah mencintai abang seorang juga!” pujuknya setiap kali aku memulakan pergaduhan. Aku ketawa sepuasnya. Perlahan aku menggelengkan kepalaku.
            “Sudah, jangan nak berjanji apa–apa! Saya pun tak mahu berjanji dengan awak Encik Aliff!  Saya tak mahu awak hanya meninggalkan janji–janji manis untuk saya! Berhentilah bermimpi! Saya tak tahu, tak pasti hati awak dan saya pun masih tak pasti hati saya untuk siapa! Tolong hantar saya sekarang! Keputusan sudah dibuat, buat apa nak tanya saya lagi! Awak hanya buang masa saya sahaja tau! Saya pun tak mahu tahu sama ada awak mencintai saya atau tidak! Ikut suka awaklah!” kataku masih dengan nada suara yang kasar. Kepahitan lalu masih terasa. Kenangan lalu masih terabadi di hatiku ini. Aliff Safwan tertawa lebar. Aku yang menjadi sangat geram dengan sikapnya.
            “Biarlah kalau Aliya belum pasti hati Aliya sendiri! Apa yang abang pasti abang benar–benar sayangkan Aliya. Abang pasti! Bagi abang hanya Aliyalah yang akan menyemarakkan kehidupan abang bersama zuriat yang akan Aliya lahirkan kelak!” mendengar katanya itu hampir aku termuntah. Laki–laki benar–benar sudah gila kerana tidak mahu mengerti perasaan seorang Nuraliya Maisharah yang keras macam batu ini.
            “Eh, jangan nak sebut benda yang bukan-bukan ya, saya tak suka! Saya tak mahu menerima apa-apapun sekalipun awak dalam waktu yang terdekat ni! Percaya atau tidak, awak tunggulah nanti!” kataku mengugut. Marak mataku memandangnya. Anehnya, lelaki di hadapanku itu masih tersenyum dengan ugutan. Seolah ugutanku tidak wujud di pendengarannya.
            “Saya berjanji akan suami yang terbaik dan bertanggungjawab buat Aliya. Akan turuti segala kata-kata Aliya selagi abang mampu melakukannya.” Katanya pula. Aku hampa. Ugutanku menjadi tidak bermakna di hadapan lelaki ini. Mengapa ya?
            “Baiklah kalau macam tu, awak kena berjanji akan menjadi suami saya atas kertas sahaja. Tak ada hubungan macam suami isteri sebenar. Tak boleh nak sentuh-sentuh saya, faham?” kataku mencabar kewibawaannya. Buntang matanya menatapku. Keningnya terangkat melihat wajahku. Wajah yang sayu dan mata yang kuyu kubiarkan sahaja. Apa yang kutahu, hatiku lebih hancur dengan keputusannya.
            “Baiklah kalau itu yang membahagiakan awak Aliya. Abang  tak akan memaksa. Tapi semua keputusan pasti terletak di tangan suami kan?” katanya. Aku masih bungkam. Tiba-tiba aku terkenangkan kakak iparku, Maheran.
            “Ah sudah, jangan awak nak menjadi ‘king control’ pula! Saya belum dapat menerima akan perkahwinan ini. Saya tak rela, awak tolonglah fahami saya.” kataku tidak mahu mengalah. Aliff Safwan ketawa lagi. Aku menjadi benci pula kerana lelaki itu sudah kehilangan perasaan.
            “Terimalah Aliff Safwan dengan seikhlasnya Aliya, dia lelaki baik yang kakak percaya dapat menjaga Aliya hingga ke penghujung usia!” kata emak.  Kosong. Pujukan emak itu tidak bermakna apa–apa. Tanpa kata–kata itu pun aku tetap akan menjadi isteri kepada lelaki itu. Ah, aku takut merana lagi! Aku berasa betapa pernikahanku ini satu kepalsuan dan bukan hakikat kehidupanku.
Aduhai Nuraliya Maisharah, kenapa nasib aku jadi begini. Rintihku sendirian.
            “Aduh sayang, awak ni cantik tapi sayang, hati awak ni keras macam batu! Tapi jangan susah abang akan cari formula bagaimana nak menjadikan batu itu mencair untuk selamanya!” kata Aliff Safwan. Aku ternganga seketika. Sesungguhnya aku tidak bersedia dan tidak mahu mendengar suara itu!











2


            Seusai majlis pernikahan, kulihat ibu bapa dan adik–beradiknya memeluknya erat. Kulihat mata ibu bapanya merah. Adiknya, Anni Syaridah sempat menjeling aku. Entah apa yang silap di matanya, aku tidak mahu tahu buat masa ini. Kulihat ibuku pula mengelap air matanya apabila aku sah menjadi isteri kepada Aliff Safwan. Mata ayah merah ketika aku menyalami tangannya. Kemudian dia mendatangi aku yang sedang duduk di birai katil tidak jauh daripadanya. Upacara membatalkan air sembahyang dan menyarungkan cincin pernikahan serta penyerahan mas kahwin akan bermula. Air mataku masih mengalir. Kurasa mataku sudah memerah. Aku sudah menangis sejak semalam. Aku rasa betapa keputusanku menerima lelaki asing ini dalam hidupku adalah sesuatu yang tidak berbaloi. Aku terasa menyesal sekali walaupun akad nikah sudah termaktub yang Aliff Safwan sudah menjadi suami Nuraliya Maisharah. Kurasa hidupku tidak berguna lagi. Entah apakah yang bakal berlaku selepas ini aku tidak tahu lagi. Segala-galanya menjadi gelap dan tidak ada masa depan.
Kusapu air mata yang tidak diundang yang hadir di pipiku ini. Aku tidak tahu bagaimana hendak meneruskan hidup dengan lelaki ini selepas ini. Aku benar-benar tidak tahu. Perlahan, kulihat dia memandang ke arahku. Pihak keluargaku juga sedang berdebar menantikannya. Kakak Maheran duduk di sisiku menemani sepanjang majlis pernikahan diadakan. Kakak Maheran sentiasa memberikan semangat kepadaku. Katanya inilah duniaku dan inilah kehidupanku selepas ini. Ah, aku hampir tidak percaya akan kata-kata itu. Biarpun ia terlalu ngeri untuk hidupku ini, Tuhan sahaja yang Tahu! Ah, bukankah Aliff Safwan sudah berjanji akan menjadi suami seperti di atas kertas sahaja, kenapa aku harus susah hati. Bukankah selepas ini aku boleh meneruskan kehidupanku seperti biasa? Bisikku sendiri. Kalau Aliff Safwan tidak mengotakan janjinya kepadaku, aku pasti akan berbuat sesuatu nanti! Janjiku kepada diriku sendiri.
Aliff Safwan menyarungkan cincin berlian yang telah dipilihnya pada minggu terakhir sebelum pernikahan. Selepas menyarungkan cincin ke jari manisku di sebelah kanan tanganku, dia menciumi dahiku, lama sekali. Aku hanya tertunduk tanpa kata selepas menyalami tangannya. Sejuk seluruh tubuhku saat itu. Benarlah kata hatiku, aku akan berjudi selepas sahaja selesai pernikahan ini. Adik beradik dan sepupu-sepupuku berdehem-dehem mengusikku. Wajahku yang sudah sedia merah dan air mataku semakin mengalir lebat jadinya!
Lama benar bibirnya melekat di dahiku. Nafasku dan nafasnya bersatu panas kerana kedekatan tubuh kami berdua. Aku berusaha menolaknya tetapi dia sengaja berlama-lama mencium pipiku. Merah pipiku apabila diusik oleh saudara-maraku dan saudara mara Aliff Safwan. Aliff Safwan hanya tersenyum memandang aku yang sudah kemalu-maluan dengan sikapnya. Mungkin dia sendiri pun berasa malu, namun dapat ditutupnya dengan senyumannya. Aku benci dengan sikapnya yang seakan memaksaku berbuat demikian di hadapan orang ramai. Aku tahu Aliff Safwan juga hanya berpura-pura di hadapan saudara mara selepas dia mengeyakan janjinya kepadaku tempohari. Aku tidak akan rela kalau dia menjadikan janji tinggal janji kelak.
Aliff Safwan masih tidak keluar dari bilik kami. Dia masih berdiri di sudut katil sambil matanya tidak lepas memerhatikan wajahku. Jurugambar sudah pun beredar keluar selepas kami memberikan aksi-aksi istimewa yang cukup menyakitkan hatiku. Saudara mara yang mengerumuni kami pun sudah keluar. Sepatutnya selepas ini kami akan keluar dan bersalaman dengan saudara mara yang datang sambil berkenalan dengan mereka. Tetapi Aliff Safwan tetap tidak mahu keluar. Pintu bilik pengantin ditutupnya rapat kalau pun tidak dikunci.
“Kenapa tak keluar lagi ni? Pergilah keluar! Layan tetamu awak yang datang dengan ramai tu! Hei, tak reti bahasa awak ni! Lagipun, kita kan baru nikah! Tak eloklah awak begini!” kataku agak kasar. Naik angin aku dibuatnya. Dia pula masih merenungku dengan pandangan yang sukar kuterjemah dengan kata hati. Aku pura-pura tidak memahami akan makna pandangan itu.
“Abang nak tatap wajah isteri abang lama-lama! Baru tenang hati abang ni! Aliya, abang rindukan Aliya. Abang tak sabar menanti saat begini,” Katanya yang sudah mendekati dan memelukku dari belakang. Tenagaku tidak cukup kuat untuk melawannya. Terpaksalah aku mendiamkan diri buat seketika ini.
Aku tidak sedar masa bilakah dia mendekatiku. Kalau bukan memikirkan aku isterinya, sudah lama aku sepak dia keluar dari bilikku itu. Leherku sudah dirapatkan dengan bibirnya. Aku berusaha untuk keluar dari pelukannya walaupun aku sudah menjadi isterinya. Aku teringat orang ramai yang masih duduk di ruang tamu dan sedang menjamu selera di luar kawasan rumah kami. Namun, bibirnya sudah menjalar di seluruh mukaku. Aku masih cuba mengelak diri daripada sentuhan lelaki itu. Tudungku sudah tidak terurus kedudukannya dan perasaanku libang libu jadinya. Kalaulah!
“Aliff, awak jangan nak jadi gila! Awak sudah berjanji dengan saya. Awak janji takkan ganggu saya kan? Tolonglah, jangan macam ni! Perangai awak ni teruk tahu, tak padan dengan usia awak tu!” kataku yang sudah mengesat bekas mukaku yang diciumnya. Bagaikan berdarah hatiku dengan tindakannya. Dia masih tersenyum pula melihat kemarahanku. Kebetulan pula usianya sudah menginjak awal tiga puluhan. Manakala usiaku baru mencecah dua puluh enam tahun.
“Awak makin cantik kalau marah Aliya! Itulah yang menyebabkan abang menjadi bertambah rindu!” katanya lagi sambil tersenyum mesra kepadaku. Aku menjelingnya tajam.
“Awak lelaki gila!” kataku keras. Dia masih tetap tersenyum. Perlahan, jari-jemariku sudah berada di dalam gengamannya pula. Aku tidak dapat melepaskan dari daripada pegangannya yang terlalu kejap itu. Aku hanya sempat berdoa agar lelaki itu mengotakan janjinya. Bibirnya begitu cepat mendarat di atas bibirku. Aku tidak sempat berbuat apa-apa lagi. Nafasku semput seketika dan aku membekukan diriku di dalam pelukan lelaki itu.
“Itu ciuman pertama dari suami untuk isterinya kan! Abang tak mahu Aliya sayang abang ni terkilan!” balasanya pula setelah dia berjaya mencium pipiku. Aku menolak tubuhnya dengan sekuat hatiku.
“Jangan awak buat benda tu lagi. Saya takkan rela dengan apa yang awak lakukan!” kataku pula. Air mataku mengalir dengan deras sekali. Aku berasa diriku tertipu oleh lelaki itu.
“Aliya… Aliya… kenapa nak menangis ni? Abang buat macam tu pun awak nak marah. Abang minta maaf sayang. Abang benar-benar ingin memberitahu sayang yang abang benar-benar sayangkan Aliya. Bukan mudah abang nak menyayangi seseorang macam Aliya,” jawabnya pula. Suaranya jadi sayu melihat aku sudah teresak-esak di birai katil peraduan kami yang terhias indah. Belakangku dielus-elusnya perlahan-lahan. Aku masih geram dengan sikapnya. Aku benar-benar terasa yang diriku sudah diperkosa oleh lelaki itu, biarpun dia sudah sah menjadi suamiku.
“Lepas ni jangan harap awak akan dapat ganggu saya. Awak tidur di bawah sana!” kataku dengan geram dan suaraku sendu. Aliff Safwan memandang ke tempat yang kutunjukkan. Sebuah sofa dan sebiji bantal. Dia mengangguk. Aliff Safwan hanya mampu mengelus-elus bahuku. Di wajahnya tergambar kekesalan. Namun, segalanya sudah berlaku dan tidak mungkin dapat diulang kembali. Lelaki itu memang sudah mula melupakan janjinya kepadaku!
“Abang ingat. Abang hanya nak beritahu Aliya yang sekarang ni Aliya dah jadi isteri abang yang sah! Mana boleh tak beri ciuman rindu dan kasih sayang untuk isteri. Abang takut Aliya akan terkilan nanti!” katanya berlucu denganku. Marak mataku menatapnya. Dia hanya bersikap selamba. Dia pula terus membahasakan dirinya sebagai ‘abang’. Aku yang tidak senang hati dengan segala tindak tanduknya.
“Awak jangan gila Aliff! Saya tak akan terkilan kalau awak tak pernah sentuh saya pun! Saya tak pernah jatuh cinta dengan awak!” kataku perlahan. Wajah lelaki itu mungkin adalah plastik! Tidak pernah menunjukkan dukanya di depanku! Setelah aku membetulkan kedudukan tudung dan hiasan di kepalaku, aku bergerak ke arah pintu bilik. Aku tidak mahu mempedulikan lelaki itu. Aliff Safwan segera menarik tanganku. Dia mengucup tanganku sepuasnya. Sekali lagi mataku marak memandangnya. Hendak kutarik tanganku tetapi dia sengaja memegang tanganku dengan kuat. Tenaga perempuanku tidak dapat melawannya. Akhirnya aku terpaksa menunggu dia menghentikan perbuatannya. 
“Abang tak gila sayang, Aliya lah isteri abang sekarang. Kenapa abang nak jadi gila! Abang cuma gilakan Aliya, tu saja! Tak salahkan?” katanya dengan suara yang perlahan sambil memandang wajahku. Dia pula masih dengan tindakan nakalnya. Tiba-tiba pintu bilik dibuka.
“Err…” kakak iparku Maheran tergamam dengan adegan yang dilihatnya. Dia lantas menutup pintu bilik pengantin tanpa mengucapkan apa-apa. Aku turut tergamam melihat Aliff Safwan yang masih asyik mengucup tanganku dan sudahpun memeluk tubuhku erat seperti tadi. Aku memejamkan mataku. Hendak menolak, dia sungguh kuat sekali berbanding dengan tenagaku. Aliff Safwan baru tersedar. Mata kami berpandangan. Aku sungguh geram dengan tingkah laku suamiku yang kuanggap tidak bersopan itu.
“Tu lah awak! Saya cakap jangan nak buat hal yang bukan-bukan! Awak degil! Tak nak keluar dari bilik ni! Awak ingat saya suka dengan perbuatan awak ni?” kataku masih geram dengan tindakannya.
“Bukan salah abang sayang! Tanyalah kakak ipar awak tu kenapa dia tidak mengetuk pintu bilik pengantin! Dia kan tahu ini bilik pengantin baru! Lain kali awak nasihati kakak ipar awak tu ya!” kata Alif Safwan bersahaja. Dia baru sahaja melepaskan tanganku. Aku berasa lega. Kalau tidak kakak iparku membuka pintu tadi, aku tidak tahu apakah yang bakal berlaku kepadaku selepas itu!
“Kalau awak tak mahu keluar, awak duduk di sini. Saya nak keluar layan tetamu! Tak manis dipandang saudara mara awak! Asyik berkurung dalam bilik!” kataku selamba lalu menarik tombol pintu. Sebelum itu aku sempat memperbaiki kedudukan tudungku. Kudengar dia sempat ketawa kecil.
“Aliya, tunggu!” aku tidak mempedulikan kata-kata Aliff Safwan lagi. Aku terus keluar dari bilik pengantin yang kuanggap sebagai bilik neraka.
Sejurus selepas dia menyedari hal itu, aku terus keluar mengejar kakak iparku. Aku tinggalkan Aliff Safwan keseorangan di dalam bilik.
“Ada apa kak?” soalku. Wajahku lesu. Kak Maheran tersenyum penuh makna. Tidak perlu aku mentafsir makna itu.
“Err, maafkan kak. Mak minta kau bawa suami kau keluar ke ruang tamu sekejap. Saudara mara ramai sedang menunggu untuk bersalaman dan berkenalan dengan pengantin.” Kata Kakak Maheran. Kakak iparku itu kemalu-maluan melihat aku. Aku lebih malu sebenarnya. Adegan di bilik pengantin masih panas dalam ingatanku. Kurang asam punya Aliff Safwan! Bisikku sendiri. Kulihat ruang tamu rumah kami masih sesak dengan orang ramai. Mereka pastinya sedang menunggu mempelai keluar dan bersalaman.
“Mari Aliya, kita ke ruang tamu!” kata Aliff Safwan yang sudah mengemaskan dirinya dan memimpin tanganku. Mataku yang kemalu-maluan sempat dipandangnya. Tanganku dingin di dalam genggamannya. Seterusnya kami bersalaman dengan orang ramai yang masih setia menunggu kami di ruang tamu. Aku tidak melihat kelibat nenek sejak tadi.  Entah di mana nenek berada sejak majlis pernikahanku ini. Semalam dia yang sangat beriya-iya hendak menyambut menantu cucunya. Uh, kalau bukan nenek aku tidak terjerat di dalam genggeman tangan Aliff Safwan ini!
            Sesudah bersalaman dengan semua ahli keluarga dan saudara mara, Aliff Safwan memanggil aku ke sudut pelamin yang sudah dihias cantik oleh pakar hias pelamin yang telah dihantarnya dua hari yang lalu. Berat kakiku hendak melangkah keluar dari bilikku itu mujur kakak iparku itu memujuk aku. Kalau tidak, jangan harap aku akan bergerak dari katil peraduanku di bilikku itu. Aku hanya mengikutnya. Dia memanggil jurugambar untuk mengabadikan gambar kami di sana. Aku yang tidak mahu bergambar. Aku memaksa diriku tersenyum di hadapan jurugambar yang sudah ditempah khas oleh keluarganya. Kemudian, ahli keluarganya dan ahli keluargaku bergambar beramai-ramai. Mukaku menjadi kelat dikelilingi keluarga. Mengapa diriku malang, menikahi lelaki yang bukan menjadi pilihanku. Sungguh diriku ini malang!
Ahli keluarganya yang lain sudah beredar menuju ke luar rumah di mana jamuan makan disediakan. 
            “Ada apa awak panggil saya ke sini? Tak cukupkah segala yang awak lakukan tadi?” soalku kasar. Wajahnya tersenyum manis. Aku tidak mahu tahu sama ada dia gembira atau marah dengan soalanku.
            “Cantiknya Aliya saat kita diijabkabul, kan. Baju kuning cair ini benar–benar serasi di tubuh Aliya yang kecil molek ini. Inilah gadis yang abang impikan selama ini. Abang benar–benar mengimpikan Aliya menjadi permaisuri hati abang untuk selama–lamanya. Bolehkan?” Dia memegang tanganku yang masih sejuk, entah kerana apa.
Barangkali kerana belum bersedia menerima dia sebagai suami. Dadaku berdebar keras entah kenapa. Selama ini aku tidak pernah merasai debaran yang kuat itu. Memalu jantungku. Hebat sekali debarannya. Namun, aku sempat menjuihkan bibirku. Hatiku tidak berkocak dengan pujian itu. Malah, aku bagaikan telah terbiasa dengan kata–kata manisnya. Hakikatnya hanya Allah sahaja yang Tahu. Aku bagaikan sedia maklum perkara yang akan dikatakannya.
            “Eh, lepaslah! Malulah tetamu ramai sedang pandang kita tu! Kawal sikit diri awak tu,” kataku separuh berbisik meminta dilepaskan. Dia masih memegang erat tanganku sambil memberikan senyuman yang amat manis kepada orang di sekeliling yang memandang kami. Aku bertambah geram dengan sikapnya yang kadang–kadang kurasakan mengada–ada. Wajahku masam mencuka sedangkan dia tersenyum gembira.
            “Apa? Salahkah pegang isteri sendiri? Hukum siapa Aliya pakai ni? Abang nak tahu juga tu! Eh, tak salahkan? Kan tadi sudah diijabkabulkan? Kenapa nak malu pegang isteri sendiri, kalau nak cium pun bolehkan? Sayang tolong senyum sikit. Buruk tau isteri abang kalau tak senyum! Tu, mak dan ayah saya tu sedang senyum-senyum tengok sayang!” katanya dengan penuh romantis sambil mengeratkan pegangannya. Geram sekali aku dengan kata–kata mesranya. Tangan kekar itu kutolak beberapa kali. Tangan itu masih degil. Suatu hari dia akan tahu akan kedegilanku ini.
            “Eh, awak ni kan Aliff, bukan main lagi mengada-ada tahu tak? Saya tak suka awak pegang-pegang saya macam ni! Awak ni kan, betul-betul memalukan saya! Awak ingat janji awak sikit! Kalau tidak saya takkan teragak-agak…” kata-kataku terputus. Ayah muncul dengan senyumannya di depan kami. Aku terkesima lalu memaniskan wajahku. Aliff Safwan tersenyum manis ke arah ayah dan kemudian menoleh ke arahku. Sekali lagi aku menggigit bibir dengan sikapnya.
            “Kenapa Aliya tak bawa suami Aliya makan? Tentu Aliff ni lapar ni!” kata ayah selamba. Aku mengangguk-angguk dengan wajah kelat. Aliff Safwan pula memberikan senyuman paling manis kepada ayah. Aku gigit bibir dan geram dengan sikapnya.
            “Kejap lagi la, ayah. Ada hal nak cakap dengan abang ni!” kataku dengan suara yang cukup perlahan. Aliff Safwan tersenyum puas. Aku menggigit bibirku lagi.
            “A’ah ayah, ada hal kami bincang ni. Nanti Aliff makan ayah,” jawabnya penuh sopan. Ayah tersenyum puas hati dengan jawapannya. Ayah berlalu perlahan meninggalkan kami berdua di sudut pelamin itu.
Sebelah tangannya meramas tanganku penuh mesra. Aku semakin geram dengan tingkahnya. Aku geram tetapi untuk menjaga keadaan aku turut tersenyum. Mata kami berpaut. Aku menundukkan pandanganku perlahan. Tidak tahan dengan pandangan laki–laki yang telah menjadi suami di hadapanku itu. Hidung mancung itu mencuit hatiku tetapi wajah laki–laki lain muncul di dalam ingatanku ini. Wajahnya kabur sekali biarpun dia sedang berdiri di sisiku saat ini. Tidak, aku tidak boleh mencintai dia walaupun dia telah menjadi suamiku! Hatiku menolak keras Aliff Safwan jauh ke pinggir hatiku. Malah, aku meyakinkan diriku betapa tidak ada ruang lelaki itu di hatiku.
“Ha, kalau sayang cakap yang bukan-bukan, ayah mertua abang pula yang serang sayang sekarang ni! Jangan sayang tak tahu hormat kat ayah sayang sendiri pula!” katanya lagi sambil tersenyum manis. Aku mencebikkan bibirku.
            “Awak tahu tak sabar? Tak tahu nak malu? Awak buta kah tak nampak orang sedang melihat perlakuan awak ni! Saya malulah Aliff!” kataku masih kasar seperti biasa. Aku tahu aku berdosa tetapi aku tidak tahan dengan gayanya yang suka memaksaku mengikut arahannya.
            “Oh sabar ya? Ya, ya abang akan sabar! Esok tengahari kita bersanding dan petang tu bolehlah … kan?” katanya dengan nada suara dan roman wajah yang amat menjengkilkan hatiku. Aku menjuihkan bibirku tanda aku tidak senang hati dengan perkataan yang digunakannya. Dia terkekeh ketawa melihat sikapku.
            “Boleh apa? Boleh tahan? Jangan harap!” kataku sambil menarik tanganku dari gengamannya. Dalam perlahan ada kerasnya.
            “Hai, tadi kata suruh abang sabar, kan sekarang abang cuba bersabar. Sepatutnya selepas nikah kita dah boleh…” Wajahnya yang tabah dengan kerenahku itu masih merenung aku dengan senyumannya, aku pula yang menjadi gementar. Aku sedar akan haknya sebagai suami tetapi aku sudah memberitahunya tentang ketidakrelaanku menerima dirinya dalam waktu yang terdekat ini. Banyak tugasku yang belum selesai sebenarnya.
            “Eh, jangan nak jadi gila! Malulah sikit! Jaga sikit mulut awak tu ya! Kalau ikut saya tak ada sanding-sanding lagi! Cukuplah nikah. Lepas kahwin kita teruskan hidup macam biasa! saya akan terus menetap di bandar dan awak di kampung! Tak ada sesiapa yang akan pindah selepas ini!” kataku lagi menunjukkan kedegilanku terhadapnya. Sekali lagi dia mengekeh ketawa. 
Mulutku muncung ke arahnya. Meluat benar aku dengan gayanya itu. Aku benar–benar marah dengan perkataannya yang agak menjengkelkan hatiku. Bagai mahu terjegil mataku mendengar kata–katanya yang kuanggap main lepas sahaja. Seperkara yang tidak kusukai terhadap laki–laki itu, dia terlalu berterus–terang kepadaku. Aku pula tidak pernah memberikan apa–apa harapan kepadanya sepanjang waktu perkenalan kami sehinggalah menjelang hari pernikahan kami.
            “Kalau itu yang Aliya mahu, abang tak dapat menghalang, tapi Aliya tetap hak abang! Bukan begitu Puan Aliya!” soal lelaki itu lagi cuba berseloroh denganku. Aku bertambah geram dengan sebaris ayatnya yang terakhir. ‘Aku haknya?’ Aku menelan air liur. Aku semakin bimbang kalau-kalau dia tetap menuntut haknya sebagai suami. Perit terasa di hatiku. Mengaitkan diriku dengan hak itulah yang kutakutkan sebenarnya. Tetapi belum apa-apa lagi dia sudah mengaitkan soal hak.
Masih terbayang–bayang di wajahku Nizam lelaki pertama yang hadir dalam hidupku. Aku masih tidak dapat melupakannya, walaupun lelaki itu sendiri yang telah meninggalkan aku. Namun aku sedar, dia meninggalkan aku kerana kesilapanku. Aku sendiri yang tersilap. Jadi, aku berjanji akan berkahwin selepas aku benar–benar dapat melupakan Nizam dari hatiku. Ah, bagaimana aku mampu melupakan laki–laki itu. Hidup mati semula aku tetap akan mengingatinya. Dialah laki–laki pertama yang menyunting aku menjadi kekasihnya dan sejak kecil kami sudah saling mengenali. Dia terlalu kudus di hatiku ini. Tidak ada sesiapa yang dapat menggantikan tempatnya yang khusus di hatiku ini. Sekalipun dia tidak memilih aku menjadi suri hidupnya, aku puas hati dengan cara layanannya yang baik semasa kami berkawan dan akhirnya bersatu dalam percintaan dulu. Semua tutur kata, sikapnya, prihatinnya masih tidak dapaat kulupakan. Ah, mampukah Aliff Safwan menggantikan tempat Nizam yang kukuh di hatiku ini?
 “Abang balik dulu Aliya, jaga diri baik–baik, kita akan bersanding lagi esok. Jangan sampai tak tidur pula ingatkan abang malam ni! Esok malam kita tak tidur tau! Nanti mata sembap tak cantik pula,” katanya sewaktu aku menyalami tangannya. Tanpa mampu kutolak dia sudah mencium dahiku. Aku terkesima dengan tindakannya yang spontan itu. Namun aku masih tidak mengharapkan dia hadir di sisiku ini.
Aku hanya mengangguk. Ah, untuk apa aku mengangguk, bukankah aku belum bersedia menjadi isterinya? Bukankah sewajarnya aku menggelengkan kepalaku dan membiarkan dia berlalu dari hidupku! Ah, mahukah laki–laki degil itu berlalu dari hidupku bukankah dia berjanji akan menjadi suami yang terbaik untukku? Ah, mampukah dia? Bukankah ramai lagi gadis yang menunggu dia di luar sana? Fikirku sendiri.
“Malam ini mimpikan abang ya manis abang!” pesannya lagi sambil mencuit hidungku. Aku tidak sempat menepis, tangannya yang tegap itu terlalu teguh untuk mendapatkan hidungku. Gadis–gadis muda berbisik melihat perlakuan kami.
“Jangan harap Aliya akan mimpikan awak Aliff! Jangan harap!” kataku dengan kasar lagi. aku tidak peduli kalau adik perempuannya ada di sisi kami. Aku tidak peduli!
Aduh! Seksanya menjadi Nuraliya Maisharah saat ini! Rasanya mahu sahaja aku terjun laut di belakang rumah kami, habis cerita!


 Bersambung...
Postedby: Miekamaysara